TOYOTA Corolla KE 70 Wagon.
TOYOTA Corolla KE 70 Wagon.
Oleh Shaiful Ahmad Pauzi


Kebanyakan kereta lama kategori wagon kerap dikaitkan dengan kenderaan memunggah barangan kepada peniaga kecil di negara ini termasuk pasar malam.

Bagaimanapun, pemilik Toyota Corolla KE 70 Wagon keluaran 1982, K Murli 29, kenderaannya diberi gelaran ‘The King’ berikutan kerap mengungguli pertandingan autoshow di seluruh Malaysia terutama di Perak.

Antara kemenangan terbesar yang pernah diunggulinya adalah ‘The Best Interior’, Wagon Terbaik 2015 dan menduduki tempat pertama pertandingan kategori kereta Old Skool.

Pemiliknya membeli kenderaan itu dengan harga RM5,000 empat tahun lalu berikutan terpengaruh dengan rakan dari kelab Old Skool Manjung.

Sebagai orang baru, dia mengubah suai kenderaan supaya dikenali dan digeruni pesaing dalam pertandingan autoshow.

Asalnya ‘kosong’ seperti kenderaan pasar malam, mula diberi penampilan baru di mana bahagian luaran diwarnakan dengan warna merah mutiara.

Dalaman pula, beberapa bahagian komponen diwarnakan sama, selain membalut keseluruhan tempat duduk asal bertema merah hitam.

Bagi mengekalkan keasliannya, masih mengekalkan stereng, meter kelajuan, kusyen, lampu bonet asal.

Pemiliknya masih mempercayai kebolehan enjin asal bersesaran 1,300 cc, tetapi ruangan berkenaan diceriakan dengan pelbagai warna supaya tampak menarik.

Sistem audio menggunakan pemain cakera jenama Pioner yang terus dihubung sebuah Monoblok Dua Saluran Mohawk Silver MS 1500 dan amplifier Empat Saluran American Sound dengan kekuatan 1,500 watt.

Untuk hasil bunyi yang berkualiti, dua buah woofer Adams Digital bersaiz 12 inci serta empat sub-woofer dari jenama sama digunakan.

Pada waktu malam, wagon itu tampak lebih menarik apabila ia dihiasi lampu berwarna-warni sekali gus digelarkan sebagai ‘The King’ oleh rakan.

Pemiliknya yang juga ahli kelab kereta Old Skool Manjung dan VIP Motorsport mengakui berbelanja lebih RM30,000 bagi mengangkat nama ‘The King’ di persada permotoran tanah air.

INFO

Toyota Corolla Ke 70 Wagon buatan 1982

- Enjin: 1,300 cc dengan menggunakan transmisi manual

- Ubah suai:

*  Tempat duduk dibalu warna merah dan hitam

*   Warna luaran mera mutiara

*   Rim 15 inci Meister

*   Tayar Achilles 195/5 R15

- Audio:

*  Pemain audio Pioneer

*   Monoblok dua salura Mohawk Silver MS 1500

*   Amplifier America Sound

*   Dua pembesar suar woofer Adam Digital

*   Empat sub woofe Adam Digital

- Kos Ubahsuai:RM30,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:00 AM