London: Queens Park Rangers menegaskan mereka akan menentang sebarang usaha Liga Bolasepak untuk mengenakan denda kerana melanggar peraturan perbelanjaan dan kewangan (FFP).

Kelab barat London itu mungkin berdepan denda hingga £58 juta (RM329 juta) selepas tersingkir kembali ke Liga Kejuaraan, yang disahkan apabila dibelasah 6-0 oleh Manchester City Ahad lalu, namun mereka akan mencabar kesahihan peraturan FFP itu.

Prosiding perundangan antara QPR dan Liga Bolasepak kini berlangsung dan satu panel timbang tara bebas akan memutuskan sama ada QPR boleh dikenakan tindakan.

Satu kenyataan bersama QPR dan Liga Bolasepak menyebut: “Prosiding perundangan kini berlangsung antara QPR dan Liga Bolasepak.

“QPR mempertikai kesahihan peraturan kewangan Liga Kejuaraan dan sebarang pertuduhan terhadap QPR (jika ada) kerana melanggar peraturan FFP tidak boleh diteruskan hingga keputusan mengenai pertikaian itu diketahui.

“Kedua-dua pihak tidak boleh memberi sebarang komen hinggalah panel timbang tara bebas membuat keputusan.”

Isu itu berkisar sekitar musim 2013-14 apabila QPR beraksi dalam Liga Kejuaraan sebelum layak ke Liga Perdana menerusi play-off.

Mereka menghantar akaun bagi kempen itu yang menyaksikan suntikan pendapatan bernilai £60 juta (RM340 juta) bagi melunaskan pinjaman. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:22 AM