Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Usia bukan penghalang buat Muhammad Hafiz Hashim menunjukkan belangnya apabila mara ke pusingan ketiga Grand Prix (GP) Emas China Masters 2015 selepas menumpaskan pemain Taiwan, Wei Cheng Po, semalam.

Hafiz, satu-satunya pemain negara yang beraksi dalam acara perseorangan lelaki pada kejohanan itu menang 21-14, 21-11.

Menurut pemain yang mewakili Akademi Jaguh Tangkis itu, perlawanan berlangsung sempurna cuma dia masih lagi cuba menyesuaikan diri dengan suasana gelanggang di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Xincheng.

“Saya rasa agak selesa apabila memenangi perlawanan kedua dan sekarang fokus menentang pemain tuan rumah Lin Gui Pui, esok (hari ini),” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum itu, Gui Pui yang turut mendapat bye pada pusingan pertama mengejutkan pilihan keenam dari Thailand, Suppanyu Avihingsanon 21-18, 21-15.

“Pengalaman mungkin membezakan antara saya dengan pemain lain, tetapi tahap kecergasan memang kurang stabil. Saya harap taktik saya menjadi dan bersedia berdepan pemain muda China berkenaan,” kata pemain berusia 32 tahun itu.

Beregu lelaki negara, Chooi Kah Ming-Ow Yao Han mara ke pusingan kedua apabila menumpaskan gandingan Taiwan, Liu Wei Chen-Han Yang Po 17-21, 21-18, 21-18.

Turut mara Tan Wee Gieen-Teo Ee Yi yang mengalahkan satu lagi beregu Taiwan, Chang Ko Chi-Wang Chi Lin 21-16, 15-21, 21-17, manakala nasib berbeza buat Mak Hee Chun-Teo Kok Siang yang tumpas 17-21, 21-15, 20-22 kepada pasangan Jepun, Hiroyuki Saeki-Ryota Taohata.

Hari ini Kah Ming-Yao Han akan bertemu pilihan keempat dari China, Wang Yilv-Zhang Wen, manakala Wee Gieen-Ee Yi turut menentang gandingan tuan rumah, Huang Kaixiang-Yu Xiaoyu. Pasangan bebas yang mendapat bye pusingan pertama, Hoon Thien How-Lim Khim Wah turun ke gelanggang berdepan Terry Hee-Hendra Wijaya dari Singapura.

Dalam aksi beregu wanita, Chin Kah Mun-Chow Mei Kuan kalah 15-21, 13-21 kepada pasangan tuan rumah, Tang Jinhua-Zhong Qianxin, manakala pilihan pertama Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan Lim Yin Loo-Lee Meng Yean mendapat bye pusingan pertama.

Beregu campuran, Tan Aik Quan-Lai Pei Jing turut mencatat kemenangan selepas mengalahkan pasangan Taiwan, Hao Tseng Min-Wen Lai Chia 21-15-21-10 dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menewaskan gandingan tuan rumah, Li Junhai-Zhong Qianxin 21-13, 21-14.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 11:07 AM