CHONG Wei (kiri) tewaskan Qiao Bin 21-17, 21-16. FOTO/AFP
CHONG Wei (kiri) tewaskan Qiao Bin 21-17, 21-16. FOTO/AFP
Ferzalfie Fauzi

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei tidak berdepan masalah melepasi pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia dan tidak menunjukkan tanda kepenatan walaupun awal bulan ini terpaksa mengharungi temasya Sukan Komanwel Gold Coast.

Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan kelima berjaya mencatat kemenangan straight set ke atas wakil tuan rumah, Qiao Bin 21-17, 21-16.

Menurut bekas pemain nombor satu dunia itu, dia tidak mahu memberi komen lanjut mengenai kemenangan hari ini dan hanya mahu memberikan yang terbaik pada setiap pusingan ditempuhi.

“Pemain muda memang sentiasa mahu menumpaskan saya dan saya hanya fokus dengan permainan saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Turut mara ialah pasangan beregu campuran dan juga pilihan keenam, Goh Soon Huat-Shevon Lai apabila mengetepikan Lee Yang-Hsu Ya Ching dari Taiwan, 21-19 21-6 dan akan menentang pasangan Indonesia, Ricky Karandasuwardi-Debby Susanto (Indonesia) di pusingan kedua esok.

Hasrat perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei untuk menamatkan badi kekalahan di tangan Busanan Omgbamrungphan tidak kesampaian apabila dia tewas 21-18, 15-21, 10-21.

Sementara itu, dua pasangan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tidak menggunakan peluang beraksi di Kejohanan Badminton Asia sebaik mungkin agar mereka mudah mendapat tempat dalam skuad Piala Thomas apabila tewas di pusingan pertama.

Yew Sin-Ee Yi terpaksa akur dengan kehebatan pasangan Indonesia, Angga Pratama-Riang Agung Saputro selepas tumpas straight set 17-21, 23-25.

Sze Fei-Nur Izzuddin pula cuba untuk memberi tentangan sengit kepada gandingan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han selepas menang set pertama namun mereka kalah 22-20, 18-21, 17-21.

Turut tersingkir ialah pilihan ketujuh beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing apabila tumbang di tangan wakil tuan rumah, He Jiting-Du Yue 21-18, 12-21, 16-21.

Lee Meng Yean yang baru sembuh dari kecederaan terpaksa akur dengan pilihan ketiga dari Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota apabila dia dan Chow Mei Kuan kalah 12-21, 7-21.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 8:44 PM