Kuala Lumpur: Semua pemain negara pulang awal di Siri Super Terbuka Singapura 2015 apabila masing-masing terkandas di pusingan pertama termasuk pemain dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahupun bebas.

Episod malang negara di kejohanan berkenaan bermula apabila pemain perseorangan negara Mohd Arif Latif (gambar) tumpas kepada Simon Santoso dari Indonesia, 14-21, 14-21.

Turut mengalami nasib yang sama Chong Wei Feng yang turut kecundang di tangan pemain Indonesia, Dionysius Hayom Rumbaka 12-21, 13-21.

Beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dilihat sedikit memberi tentangan apabila berjaya mengheret perlawanan ke rubber set namun mereka terpaksa akur dengan pilihan keenam kejohanan, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan (Indonesia) apabila tumpas 21-18, 15-21, 14-21.

Nasib yang sama turut berlaku kepada satu lagi gandingan beregu lelaki, Chooi Kah Ming-Ow Yao Han, yang dikalahkan pilihan kedua dari Taiwan, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin 11-21, 15-21.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita, Tee Jing Yi turut terkandas apabila dikalahkan pemain China, 10-21, 9-21.

Gandingan beregu wanita, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho turut kecundang apabila kalah kepada pilihan ketiga kejohanan dari China, Wang Xiaoli-Yu Yang 15-21, 8-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 9:02 AM