LIU Ying (kanan) dan Peng Soon tewaskan pasangan tuan rumah.
LIU Ying (kanan) dan Peng Soon tewaskan pasangan tuan rumah.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Naib juara Terbuka Malaysia Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terus mempamerkan aksi mantap di Masters China apabila mara ke suku akhir selepas mengalahkan wakil tuan rumah, Zhu Junhao-Zhou Chaomin semalam.

Bagaimanapun, beregu campuran utama negara itu terpaksa berhempas-pulas sebelum menang 22-24, 21-12, 21-13 dalam aksi 49 minit di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Xincheng.

Menurut Liu Ying, mereka sedikit keliru dengan corak permainan pasangan lawan yang ditemui buat julung kali, sehingga menyebabkan mereka tumpas set pertama.

“Selepas set kedua dan ketiga baru kami mendapat rentak sebenar dan menang perlawanan itu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Ditanya mengenai aksi suku akhir hari ini, pemain kelahiran Melaka itu berkata, mereka sekali lagi bakal berdepan rintangan sukar apabila sekali lagi berdepan wakil tuan rumah, He Jiting-Du Yue.

Sementara itu, satu lagi beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing gagal meneruskan rentak cemerlang apabila tumpas kepada pasangan Singapura Terry Hee-Tan Wei Han 21-14, 19-21, 14-21.

Turut mengalami nasib sama beregu wanita utama negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang kalah kepada Huang Dongping-Zhong Qianxin dari China, 17-21, 18-21.

Dua pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Liew Daren turut gagal meneruskan kemaraan selepas tumpas kepada lawan masing-masing.

Iskandar tewas kepada pilihan kelapan dari Korea Selatan Lee Dong Keun 21-18, 15-21, 4-21, manakala Daren tunduk kepada pemain India HS Prannoy 10-21, 15-21.

“Pada set ketiga pemain lawan (Dong Keun) bertahan baik dan mula mendapat keyakinan, saya tidak boleh mematahkan serangannya, tapi kekalahan ini pengajaran berguna,” kata Iskandar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 8:33 AM