Oleh Syazwan Msar

Kuantan: Sebuah tadika di Bukit Setongkol, di sini, musnah dalam kebakaran kira-kira jam 5 petang tadi.

Kebakaran premis dua tingkat itu dipercayai bermula dari tingkat atas sebelum merebak ke bahagian bawah.

Timbalan Penguasa Bomba Mat Hussein Mamat berkata, ketika kejadian semua 50 murid serta empat guru tiada di dalam tadika berkenaan kerana sudah pulang selepas tamat sesi pembelajaran pada tengah hari.

Katanya, bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan bersebelahan.

Seramai 40 anggota dan 5 jentera dari Balai Bomba Jalan Bukit Ubi dan Taman Tas dikerahkan ke tempat kejadian.

Punca kejadian masih lagi disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 September 2014 @ 8:31 PM