KEBAKARAN yang memusnkan 17 buah rumah atas air di Kampung Bangau-Bangau. FOTO Ihsan Bomba
KEBAKARAN yang memusnkan 17 buah rumah atas air di Kampung Bangau-Bangau. FOTO Ihsan Bomba
Abdul Rahemang Taiming


Semporna: Sebanyak 17 rumah atas air di Kampung Bangau-Bangau, dekat sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Kebakaran kira-kira jam 9.15 pagi itu dikatakan bermula dari sebuah rumah sebelum merebak ke beberapa kediaman lain sekitar penempatan atas air berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Abdul KadirAb. Halalan ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.20 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota bergegas ke lokasi menggunakan sebuah bot aluminium.

Beliau berkata, keadaan air laut yang cetek menyukarkan anggota untuk ke lokasi kejadian dan terpaksa berjalan sejauh 150 meter dari bot.

"Sebaik tiba di lokasi, didapati api sedang marak memusnahkan beberapa rumah papan atas air membabitkan anggaran keluasan kira-kira 0.5 hektar terbakar.

"Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan kebakaran dapat dikawal kira-kira 30 minit kemudian sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.15 pagi," katanya.

Abdul Kadir berkata, operasi memadam kebakaran turut dibantu anggota dari BBP Semporna (darat) dan BBP Kunak serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan penduduk kampung.

Menurutnya, punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 4:32 PM