Bilik enjin kapal latihan Teguh Samudera terbakar di Grade One Marine, Kampung Acheh, semalam.
Bilik enjin kapal latihan Teguh Samudera terbakar di Grade One Marine, Kampung Acheh, semalam.

Sitiawan: Bilik enjin kapal latihan Teguh Samudera milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terbakar di Grade One Marine, Kampung Acheh, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.50 pagi itu, kebakaran membabitkan bilik enjin kapal berkenaan disedari pengawal keselamatan yang meronda di kawasan berhampiran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan Mohd Zaki Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.59 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, kapal itu sedang dibaiki, namun ketika kejadian tiada sesiapa di dalam kapal itu dan tiada mangsa terbabit.

“Asap hitam keluar melalui pintu masuk utama kapal berkenaan. Bagaimanapun, hanya lima peratus daripada keseluruhan kapal berkenaan terbakar,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, pasukan bomba mengambil masa 20 minit untuk memadamkan api serta dapat mengawal kebakaran daripada merebak.

Punca kebakaran serta nilai kerugian masih disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 5:46 AM