RAJA Teh  (kanan) Galvin dan    pada majlis taklimat media Hong Leong Connect PEx+, semalam.
RAJA Teh (kanan) Galvin dan pada majlis taklimat media Hong Leong Connect PEx+, semalam.

Kuala Lumpur: Hong Leong Bank Berhad (HLB) menyasarkan 50 peratus daripada tiga juta jumlah keseluruhan pelanggan runcitnya untuk menggunakan aplikasi perkhidmatan pembayaran mudah alih termasuk Hong Leong Connect PEx+ dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Islamic Bank Raja Teh Maimunah berkata, sasaran itu sebahagian daripada usaha syarikat meningkatkan segmen perbankan digitalnya memandangkan bilangan pengguna telefon pintar mewakili 63 peratus daripada pasaran Malaysia.

“Pada Mac tahun lalu, kami melancarkan aplikasi Hong Leong Connect PEx+ untuk pelanggan HLB apabila ia mengumpulkan 80,000 pengguna dan pada kali ini, kami memperkenalkan versi dikemas kini bagi memberi perkhidmatan lebih berkualiti kepada pelanggan,” katanya pada majlis taklimat media Hong Leong Connect PEx+ di sini, semalam.

Aplikasi menggunakan platform Hong Leong Connect itu bertujuan memenuhi keperluan gaya hidup digital pelanggan HLB dan ia membolehkan urusan pembayaran di antara pemegang akaun HLB dan peniaga boleh dilakukan melalui telefon mudah alih saja.

Beliau berkata, teknologi terbabit diakui mempengaruhi landskap pembayaran dipacu pengguna telefon pintar dan ia menjadi platform perubahan yang signifikan terhadap industri perbankan dan pasaran tempatan yang kini semakin cenderung ke arah dompet digital.

Pengurus Besar Inovasi Digital dan Transaksi Perbankan (Peruncitan) Hong Leong Islamic Bank, Galvin Yeo berkata, ketika ini HLB bekerjasama dengan lebih lapan peniaga termasuk La Boca Cafe dan Claypot Station yang menawarkan perkhidmatan PEx+.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 8:37 AM