DOMENIC (kanan) bersama Pengarah Urusan Perkhidmatan Peribadi, Charles Sik menunjukkan kemudahan digital disediakan bank pada majlis pelancaran Kempen Hari Digital HLB, semalam. FOTO Amirudin Sahib
DOMENIC (kanan) bersama Pengarah Urusan Perkhidmatan Peribadi, Charles Sik menunjukkan kemudahan digital disediakan bank pada majlis pelancaran Kempen Hari Digital HLB, semalam. FOTO Amirudin Sahib
Sofyan Rizal Ishak


KUALA LUMPUR: Hong Leong Bank Bhd (HLB) memperuntukkan 60 hingga 70 peratus perbelanjaan modal bernilai RM220 juta tahun ini untuk tujuan meningkatkan keupayaan digital bank terbabit.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, pelaburan modal itu akan digunakan dalam mempertingkat operasi secara fizikal dan melalui platform dalam talian.

“Tahun ini kami bakal memperkenalkan pembiayaan korporat secara dalam talian bagi memberi revolusi kepada perkhidmatan ini kerana sebelum ini pelanggan terpaksa mengisi borang secara manual bagi tujuan terbabit.

“Kami beraspirasi untuk mendigitalkan keseluruhan proses namun ia akan membabitkan pihak lain seperti peguam, penilai dan firma akauntan.

“Justeru, kami mahu menjadi pihak yang mampu mencipta ekosistem seumpama itu,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Hari Digital HLB di sini, semalam.

Kempen Hari Digital HLB dengan tema Bye-Bye Cash. No Cash No Problem itu menyaksikan bank memperkenalkan promosi menarik termasuk memberi ganjaran kepada 25,000 pelanggan dengan rebat tunai.

Beberapa promosi lain turut ditawarkan kepada pelanggan termasuk The 7-Day Bye-Bye Cash Frenzy, HLB Cashless Sale dan 7.7.19 One Day Online Exclusives.

Inisiatif yang bermula 7 hingga 14 Julai itu adalah komitmen bank melaksanakan perbankan digital dalam kalangan pelanggan melalui pendidikan dan promosi bidang pembayaran digital serta tanpa tunai.

Beliau berkata, 64.4 peratus pelanggan HLB menggunakan platform mudah alih dan digital bagi transaksi perbankan sehingga hujung tahun lalu.

“Jumlah itu meningkat 20 peratus daripada tahun sebelumnya dan ia memberi kami kekuatan melaksanakan aspirasi digital HLB dan fokus kepada pendigitalan teras.

“Pada masa sama, purata nilai transaksi turut berkembang dari tahun ke tahun dan pengguna menjadi semakin yakin dan bergantung kepada penyelesaian mudah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 7:38 AM