MUELLER (kiri) mengasak pintu gol Georgia.
MUELLER (kiri) mengasak pintu gol Georgia.
AFP

Tbilisi: Marco Reus dan Thomas Mueller menyumbat gol pada babak pertama bagi melengkapkan kemenangan 2-0 ke atas Georgia awal pagi semalam sekali gus mencerahkan semula peluang juara dunia, Jerman pada kempen kelayakan Euro 2016.

Selepas mengalami kekalahan mengejut di tangan Poland dan seri di laman sendiri dengan Ireland Oktober lalu, Jerman kendalian Joachim Loew hadir di Tbilisi memerlukan tiga mata bagi kekal bersaing memburu tangga teratas Kumpulan D.

Poland yang seri 1-1 dengan Republik Ireland, mendahului kumpulan itu satu mata di depan Jerman dan Scotland.

“Sebelum perlawanan, anda tidak terlepas daripada memikirkan kedudukan dalam kumpulan. Kami sedar mesti menang di sini,” kata Loew.

“Saya gembira dengan persembahan babak pertama, ada beberapa kombinasi bagus dengan gol yang menakjubkan.

“Tapi kami hilang penguasaan perlawanan selepas rehat dan mensia-siakan satu atau dua peluang.”

Jerman mencipta 13 peluang berbanding tuan rumah dua dan hanya ketangkasan penjaga gol Georgia, Giorgi Loria membantu pasukannya daripada dibelasah.

Selepas gagal menyerlah dalam tujuh perlawanan sejak menjuarai Piala Dunia Brazil 2014, ia persembahan lebih mantap Jerman, namun mereka kecewa kerana gagal menambah gol pada babak kedua.

“Secara jujur, perasaan saya agak berbelah-bagi, kami bertindak baik pada babak pertama dan menjaringkan gol menarik, tapi mengecewakan tidak menjaringkan sebarang gol selepas rehat,” kata Mueller, penjaring terbanyak Jerman pada kelayakan dengan lima gol.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 9:54 AM