VAR akan digunakan dalam saingan Liga Malaysia selepas ini. -FOTO Perak Football Club
VAR akan digunakan dalam saingan Liga Malaysia selepas ini. -FOTO Perak Football Club
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Arena bola sepak tanah air melangkah setapak lagi apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) secara rasminya mengiktiraf dan meluluskan penggunaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia bermula musim 2024-2025.

Pengiktirafan Fifa itu sudah pastinya membanggakan kerana Malaysia adalah antara 68 negara yang memperoleh kelulusan untuk menggunakan teknologi VAR.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM Datuk S Sivasundaram memaklumkan bahawa delegasi Fifa yang hadir ke negara ini pada April lalu iaitu Bhaveshan Moorghan dan instruktur VAR Fifa, Igor Rodajcic sudah melakukan proses penilaian dan ujian terhadap tahap kemahiran pengadil dan keberkesanan teknologi itu.

"Di sepanjang seminar VAR dijalankan selama enam hari itu, sebanyak enam perlawanan percubaan telah dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi tujuan berkenaan.

"Pihak MFL juga menyediakan sebanyak lapan perlawanan pramusim yang membabitkan pasukan Liga Super. Ia memberi peluang kepada pengadil-pengadil untuk terus memahirkan diri dengan teknologi VAR sebelum menghadapi musim Liga Super 2024-2025," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Bhaveshan melalui laporannya memuji tahap persiapan dan keberadaan tahap kemahiran yang ada pada pengadil VAR di negara ini, sekali gus membawa kepada kelulusan Fifa untuk penggunaan teknologi terbabit dalam saingan Liga Malaysia 2024-2025 yang akan bermula 10 Mei ini.

Mengikut rekod, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada Februari tahun lalu mencetuskan idea dan inisiatif untuk memperkenalkan VAR di Liga Malaysia bermula musim 2024-2025 dan cadangan itu mendapat sokongan padu daripada Jawatankuasa Eksekutif FAM dan kepimpinan tertinggi MFL.

Hamidin kemudiannya mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Fifa, Pierluigi Collina ketika menghadiri Kongres Fifa ke-73 di Kigali, Rwanda pada 16 Mac 2023 bagi membincangkan secara lebih lanjut mengenai perkara membabitkan teknologi VAR.

Langkah pelaksanaan VAR di Malaysia dimulakan pada April tahun lalu dengan lawatan delegasi dari Fifa untuk memberi taklimat tentang protokol VAR dan prosedur pelaksanaannya.

Seterusnya FAM memulakan latihan pengadil VAR yang bermula pada Jun 2023 hingga bulan lalu dengan melalui tiga fasa latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 1:55 PM