Warsaw: Pengurus Scotland Gordon Strachan (gambar) meramalkan pasukan yang melepasi saingan Kumpulan D hanya akan ditentukan pada perlawanan terakhir selepas anak buahnya meraih keputusan seri 2-2 dengan Poland di Warsaw, awal pagi semalam.

Sasaran Scotland untuk layak ke pusingan akhir kejohanan utama itu buat kali pertama sejak 1998 berdepan tugas sukar dengan juara dunia, Jerman, Poland dan Republik Ireland turut bersaing untuk meloloskan diri ke Euro 2016 di Perancis.

Skuad kendalian Strachan memulakan kempen dengan cemerlang, selepas kekalahan tipis kepada Jerman di Dortmund bulan lalu apabila bangkit menewaskan Georgia dan kini terikat di Poland.

Bagaimanapun, saingan kumpulan itu sudah menghasilkan keputusan mengejut dengan Poland melakar kemenangan bersejarah mengatasi Jerman manakala jaringan minit akhir John O'Shea membolehkan Ireland meraih keputusan 1-1 menentang anak buah Joachim Loew, awal pagi semalam.

Ini bermakna Poland di kedudukan teratas Kumpulan D dengan tujuh mata menerusi perbezaan gol mengatasi Republik Ireland. Scotland yang berdepan Ireland di Glasgow pada bulan depan, terikat empat mata dengan Jerman.

Strachan berkata, kumpulan itu terlalu sukar untuk ditentukan dan menjangkakan pasukan yang layak ke pusingan seterusnya perlu menunggu sehingga perlawanan terakhir.

"Kumpulan ini paling sukar pada kelayakan setakat ini. Kedudukan akan ditentukan sehingga perlawanan terakhir," katanya.

"Kami mengumpul empat mata dalam dua perlawanan terakhir, sesuatu yang baik dan kami seharusnya meraih sekurang-kurangnya satu mata di Jerman. Saya fikir kami mempunyai percubaan ke arah gol lebih banyak di Jerman berbanding aksi malam ini (awal pagi semalam).

"Setakat ini kami mempamerkan dua persembahan bagus di tempat lawan dan satu jaringan hebat menentang Georgia. Anda tidak pernah tahu bila anda mampu meraih mata yang penting." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:33 AM