Tbilisi: Jurulatih Scotland Stuart McCall (gambar, kanan) berkata, beliau yakin skuad kebangsaannya mampu menghasilkan keputusan yang diperlukan menjelang pertemuan menentang Georgia di Tbilisi pada saingan kelayakan Euro 2016.

McCall yang juga bekas pengurus Rangers dan menjadi salah seorang pembantu kepada pengurus Scotland Gordon Strachan sejak 2013, berkata, tahap keyakinan diri yang diterapkan kepada pemain akan membantu mereka untuk layak ke final kejohanan utama pertama sejak Piala Dunia 1998.

Scotland ketika ini menduduki tangga ketiga Kumpulan D, tiga mata di belakang pendahulu Poland dan dua mata di belakang Jerman sambil kedua-dua pasukan bertemu sesama sendiri di Frankfurt.

Scotland menentang Georgia yang kelihatan bergelut dan McCall yakin kejayaan di Tbilisi akan menjadi pemangkin kepada usaha mereka untuk layak ke pusingan akhir sebelum melayan kunjungan Jerman di Hampden Park, Isnin nanti.

“Keyakinan dan kepercayaan datang dari persembahan dan ia pasti membantu menghasilkan keputusan baik. Kami bermula perlahan dan selepas itu barulah kami bangkit,” kata McCall mengenai permulaan kebangkitan mereka di bawah kendalian Strachan.

“Kami berdepan kekalahan di tangan Wales dan Serbia, tetapi kami menang ke atas Croatia dan menunjukkan persembahan baik dalam perlawanan lain. Kami menang ke atas Ireland dan melawan Poland dengan baik sekali.

“Apa yang kami ada sekarang ialah rasa percaya pada diri. Kakitangan pasukan, pemain dan peminat semuanya percaya kami mampu melakukannya.

“Ia pasti mengubah sesuatu dan kami sedar dengan hakikat itu. Kami hanya perlu menghasilkan keputusan yang dikehendaki.”

Georgia menduduki tangga kedua terbawah Kumpulan D dan mereka tewas 1-0 ketika bermain di Glasgow Oktober tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 6:06 AM