Colombo: Adik bongsu Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena meninggal dunia semalam selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan kapak, dua hari sebelumnya.

Priyantha Sirisena, 42, parah di kepalanya dalam kejadian di Polonnaruwa. Polis berkata, seorang lelaki ditahan berhubung kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.

Maithripala berada di China atas lawatan kerja.

Dalam satu kenyataan, kerajaan berkata, Priyantha diserang ketika pertengkaran dengan rakannya, lewat Khamis lalu.

Dia diterbangkan ke Colombo untuk rawatan kecemasan, tetapi gagal diselamatkan disebabkan kecederaan yang terlalu teruk di kepalanya.

Maithripala yang dilantik Januari lalu berbeza daripada pemimpin terdahulu itu apabila enggan melantik pengawal keselamatan untuk adik-beradiknya, malah dia sendiri mempunyai unit perlindungan yang amat kecil. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 5:07 AM