290 orang terbunuh dan kira-kira 500 lain cedera. -Foto AFP
290 orang terbunuh dan kira-kira 500 lain cedera. -Foto AFP
Reuters

COLOMBO: Pihak berkuasa Sri Lanka menarik balik perintah berkurung hari ini, sehari selepas 290 orang terbunuh dan kira-kira 500 lain cedera dalam siri serangan bom yang memusnahkan gereja dan hotel mewah pada hari Easter semalam.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan ke atas dua gereja dan empat hotel di dalam dan sekitar Colombo serta gereja ketiga di pantai timur laut negara itu.

Sumber kerajaan berkata, Presiden Maithripala Sirisena, yang berada di luar negara ketika serangan berlaku, mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara awal hari ini yang akan dihadiri Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe, kata sumber.

Wujud kebimbangan serangan berkenaan mungkin mencetuskan keganasan terbaharu rakyat, dengan laporan polis lewat semalam, berlaku serangan bom petrol di sebuah masjid di barat laut Sri Lanka dan dua kedai milik penduduk Islam di barat dibakar.

Perintah berkurung di negara kepulauan itu ditarik balik awal hari ini walaupun lalu lintas lengang di ibu kota yang biasanya sibuk.

Tentera bersenjatakan senapang automatik berkawal di luar hotel terkenal dan Pusat Dagangan Dunia di daerah perniagaan, di mana empat hotel menjadi sasaran semalam, menurut saksi Reuters.

Sejumlah besar penduduk yang terkandas di lapangan terbang utama mula pulang ketika sekatan ditarik balik.

Kerajaan turut menyekat akses media sosial dan mesej termasuk Facebook dan WhatsApp, menjadikan maklumat sukar sampai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 3:32 PM