ZAHRAN Hashim. FOTO AFP
ZAHRAN Hashim. FOTO AFP
AFP

COLOMBO: Pemimpin ekstremis dianggap memainkan peranan penting dalam serangan hari Easter di Sri Lanka, baru-baru ini, turut terbunuh dalam kejadian berkenaan, kata presiden negara itu semalam dalam pada ketua polisnya meletak jawatan kerana gagal menghalang kejadian berkenaan.

Presiden Maithripala Sirisena memberitahu wartawan, Zahran Hashim maut dalam letupan di salah satu lokasi serangan membabitkan masing-masing tiga gereja dan hotel mewah yang kerap digunakan pelancong luar.

“Agensi risikan memaklumkan saya, Zahran terbunuh dalam serangan di Shangri-La,” katanya.

Menurutnya, Zahran mengetuai serangan di hotel berkenaan ditemani seorang lagi penyerang yang dikenal pasti sebagai Ilham Ibrahim.

Pihak berkuasa memburu Zahran selepas kumpulannya, National Thowheeth Jama’ath (NTJ) dikenal pasti sebagai dalang kejadian.

Negara itu masih dalam keadaan berjaga-jaga dan kawalan ketat disediakan ketika solat Jumaat di masjid semalam, namun pihak berkuasa menurunkan jumlah kematian kepada 253 daripada 359 selepas beberapa mayat yang terlerai secara tidak sengaja dikira dua kali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 3:56 PM