RODGERS
RODGERS
AP

London: Hanya tiga bulan lalu Liverpool tersingkir pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, menghampiri zon penyingkiran berbanding kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris dan pengurusnya berasakan beliau akan dipecat.

Kini, Reds adalah pasukan dengan prestasi terbaik di England, Brendan Rodgers dipuji kerana percaturan taktikalnya dan pasukan itu dipisahkan satu kemenangan daripada tempat kelayakan ke Liga Juara-Juara.

Bagi menjadikan ia lebih manis buat Liverpool, kemenangan itu mungkin hadir Ahad ini menentang musuh tradisi.

Liverpool melayan kunjungan Manchester United di Anfield dalam apa yang dilihat secara tradisi sebagai perlawanan terbesar dalam bola sepak Inggeris.

Reds boleh merampas kedudukan United di tangga keempat jika menang perlawanan itu selain mengekalkan rentetan tanpa kalah sejak kedua-dua pasukan bertemu di Old Trafford pada 14 Disember lalu. Ketika itu United menang 3-0 dan Liverpool merudum, jauh berbeza berbanding pasukan yang hampir menjuarai Liga Perdana musim lalu.

Mereka berjaya merapatkan jurang kepada 10 mata di belakang pendahulu Chelsea sejak itu, satu usaha mengagumkan menurut Rodgers.

“Kami belum melakukan apa-apa lagi,” jelas Rodgers, “namun berbanding kedudukan kami pada permulaan musim, keinginan kuat dan usaha keras yang dipamerkan pemain hingga mampu membantu kami bangkit dan mencipta peluang untuk mencabar, ia memang hebat.”

United hadir pada perlawanan itu berbekal persembahan terbaik musim ini selepas menang 3-0 ke atas Tottenham. Ia persembahan dinamik yang dinanti-nantikan pengurus Louis van Gaal. Persoalannya dengan berbaki sembilan perlawanan mampukah United terus mengekalkan rentak?

Buat seketika, dua pasukan paling berjaya di England bersaing bagi satu daripada dua tempat terakhir ke Liga Juara-Juara di belakang dua pasukan teratas Chelsea dan Manchester City.

Bagaimanapun, pasukan tangga kedua City makin merosot dan hanya satu mata di depan pasukan tangga ketiga Arsenal, dua mata berbanding United dan empat mata di depan Liverpool di tangga kelima. Malah Chelsea juga boleh dikejar pasukan lain dengan pendahulu itu sekadar tujuh mata di depan Arsenal.

Chelsea berkunjung ke Hull, Manchester City menanti kehadiran West Brom manakala Arsenal bertandang ke Newcastle.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:18 AM