Reuters

London: Arsene Wenger (gambar) mungkin menjadi tumpuan selepas Arsenal trauma dalam Liga Juara-Juara, namun pasukannya boleh menyamakan mata dengan pendahulu Manchester United jika mengalahkan musuh mereka Ahad ini ketika bos Liverpool, Brendan Rodgers mengemudi pasukannya menentang musuh Everton.

Selepas satu lagi keputusan kurang baik dalam Liga Juara-Juara, kelab gergasi Liga Perdana Inggeris pasti mendapati mereka menjadi tumpuan utama hujung minggu ini.

Dua daripadanya akan bertemu sesama sendiri apabila pasukan tangga keempat Arsenal boleh menyertai United dengan 16 mata jika menundukkan mereka di Emirates.

Ia juga pastinya membantu Manchester City kembali ke puncak jika mereka tidak mengalami kekalahan mengejut di tangan kelab bermasalah Newcastle United malam esok.

Arsenal dijangka memanggil semula penjaga gol Petr Cech selepas penolongnya David Ospina menjaringkan gol sendiri ketika kalah mengejut 2-3 di laman sendiri kepada kelab Greece, Olympiakos awal pagi kelmarin, kekalahan kedua berturut-turut mereka di Eropah.

Mereka akan berdepan United yang sudah menjaringkan sembilan gol ketika menang tiga perlawanan liga berturut-turut, tiga daripadanya menerusi pemain muda berbakat Anthony Martial, sekali gus menghuni tangga teratas buat kali pertama di bawah kendalian Louis van Gaal.

Pasukan jiran City pula mengalami dua kekalahan liga berturut-turut di tangan West Ham United dan Tottenham Hotspur, selepas menjadi pilihan utama merebut kejuaraan apabila menang lima perlawanan pertama mereka.

Bagaimanapun, semangat mereka kembali melonjak selepas menang 2-1 ke atas Borussia Moenchengladbach di Eropah, awal pagi semalam.

Kini satu mata di belakang United, mereka dijangka mengatasi Newcastle kendalian Steve McClaren sekalipun pasukan lawan mempamerkan peningkatan Sabtu lalu selepas seri 2-2 di laman sendiri dengan juara bertahan Chelsea.

Chelsea, yang sudah kalah tiga kali dalam liga dan pulang selepas tewas 1-2 kepada FC Porto pada aksi Liga Juara-Juara, perlu kembali mencatat kemenangan bermula dengan perlawanan menentang Southampton di Stamford Bridge.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 7:44 AM