Liverpool: Kolo Toure menganggap spekulasi mengenai masa depan Brendan Rodgers sangat ‘gila’ dan mempertahankan pengurus Liverpool itu untuk kembali mengubah nasib kelab di Anfield.

Liverpool tergelincir ke tangga ke-11 Liga Perdana Inggeris selepas kekalahan ketujuh dan paling teruk musim ini kepada musuh tradisi, Manchester United di gelanggang lawan, Ahad lalu.

Rodgers disanjung kerana hampir membantu Liverpool merebut gelaran liga musim lalu, tetapi dikritik hebat sejak akhir-akhir ini.

Mereka kini ketinggalan 18 mata berbanding pendahulu liga, Chelsea selepas tumpas 0-3 kepada United dan tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah apabila hanya menang sekali ke atas kelab Bulgaria, Ludogorets.

Toure berasa kritikan terhadap Rodgers keterlaluan selepas Liverpool hanya kurang dua mata untuk meraih kejuaraan pertama dalam tempoh 24 tahun musim lalu.

“Memang keterlaluan untuk bercakap soal masa depannya. Beliau seorang pengurus hebat dan kami tahu mengenainya. Lihat betapa hebatnya beliau musim lalu,” kata pertahanan Liverpool itu.

Toure terhutang budi kepada Rodgers yang berjaya membantunya meninggalkan Manchester City, apabila bergelut untuk mencari tempat dalam kesebelasan utama selepas berpindah dari Arsenal dengan nilai £16 juta (RM87 juta). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 7:14 AM