Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Kehilangan tiga tonggak pertahanan akibat kecederaan bukan penghalang jurulatih Selangor Mehmet Durakovic untuk mengarahkan anak buahnya mengasak habis-habisan kubu Sarawak pada pertembungan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.

Tanpa kelibat kapten Muhammad Shahrom Kalam, Mohd Azmi Muslim dan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, pengendali dari Australia itu yang resah dengan situasi itu bagaimanapun mengakui mempunyai calon pengganti terbaik bagi setiap posisi itu.

“Memang saya ada pemain lain untuk mengisi kekosongan itu, namun ia bukan situasi yang mudah kerana tiga pemain pertahanan ini tonggak pasukan sebelum ini.

“Tapi, saya tidak hanya akan fokus atau mengarahkan pemain untuk bertahan kerana kami akan tetap bermain seperti biasa. Kami akan menyerang dan mempamerkan permainan bola sepak menarik seperti dilakukan ketika bertemu PDRM dan FELDA United,” katanya semalam.

Menurut Durakovic, posisi pertahanan tengah Shahrom bakal diisi Mohd Rizal Fahmi Rosid manakala Mohd Raimi Mohd Nor mengambil tempat Azmi di bahagian kiri. Bunyamin Omar pula menggantikan Azrif Nasrulhaq di pertahanan kanan.

Selain tiga pemain itu, skuad Red Giants yang masih segar dengan kemenangan bergaya 4-1 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) minggu lalu untuk menduduki tangga kelapan liga, satu anak tangga di belakang Sarawak juga terpaksa melupakan khidmat pemain tengah Brazil Leandro Dos Santos yang digantung perlawanan.

Durakovic berkata, peningkatan prestasi anak buahnya memberikan keyakinan untuk mereka memungut tiga mata penuh biarpun mengakui Sarawak kendalian Robert Alberts bukan pasukan yang mudah dijinakkan.

“Kami akan beraksi di depan penyokong sendiri, sudah pasti kami mahukan kemenangan.

“Saya gembira dengan prestasi pemain dan keputusan dengan PDRM, FELDA United (Piala FA), Johor DT dan Pahang sebelum ini memberikan keyakinan kepada semua pemain.

“Sarawak sememangnya lawan yang sukar, tapi bukan mustahil untuk kami melakar satu lagi kemenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:27 AM