Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: “Sudah 13 tahun kami tidak menang di Kota Bharu, saya percaya ini masa terbaik untuk kami mengubah rekod itu,” kata jurulatih Selangor Mehmett Durakovic dengan nada penuh yakin menjelang pertemuan menentang Kelantan di Stadium Sultan Mohamad IV pada aksi Liga Super malam ini.

Kali terakhir skuad Red Giants membawa pulang tiga mata dari stadium keramat Kelantan itu pada 2002 dan Durakovic yang kini menyaksikan anak buahnya gah di tangga teratas liga mahu memastikan kemenangan akan kembali berpihak kepada mereka untuk mengukuhkan kedudukan.

“Tahun lalu kami bertemu Kelantan sekali di Kota Bharu dan tewas, sesuatu perlu dilakukan kali ini. Saya tahu Kelantan kini dalam prestasi terbaik, apatah lagi bermain di gelanggang sendiri.

“Saya menyaksikan mereka bermain baik ketika menentang Johor Darul Ta’zim dan Sime Darby tapi kami sudah bersedia kali ini,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Selepas lapan perlawanan, Selangor kini menerajui liga dengan 17 mata, berkongsi mata dengan pasukan tangga kedua FELDA United yang dipisahkan menerusi perbezaan jaringan.

Durakovic yakin peningkatan gandingan serangan Mohd Afiq Azmi dan Guilherme De Paula mampu menghadirkan gerun kepada skuad The Red Warriors kendalian Azraai Khor Abdullah yang menikmati kemenangan pertama bersama pasukan baru ke atas Sime Darby 3-0 dalam aksi Piala FA.

“Saya gembira kami menduduki tangga teratas dan mempamerkan permainan bola sepak menarik ketika ini.

“Hanya Leandro (Dos Santos) mengalami kecederaan dan pemain lain seperti Nazmi Faiz (Mansor) dan Azmi Muslim sudah pulih.

“Kami bukan pasukan bintang tapi mempunyai kekuatan semangat berpasukan untuk mengharungi liga musim ini,” kata bekas pemain Selangor itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:21 AM