DE PAULA penggempur harapan Selangor.
DE PAULA penggempur harapan Selangor.

Saingan Kumpulan C dilabel ‘Kumpulan Maut’ apabila mempertemukan Selangor, Felda United, Kelantan dan T-Team. Masing-masing mempunyai kekuatan yang mahu dieksploitasi sebaik mungkin untuk mara melepasi peringkat kumpulan.

Berikut adalah penilaian pengkritik sukan, Serbegeth Singh yang berkongsi pandangannya dengan wartawan Arena Metro, Aziman Rosdi.

“Saya anggap Selangor pasukan kedua terkuat dalam saingan Kumpulan C ini selepas FELDA United. Berbekalkan kekuatan pemain yang mereka miliki, sasaran ke suku akhir bukan sesuatu mustahil buat juara 32 kali ini.

Jika diukur dari segi prestasi pasukan ini dalam kempen Liga Super, pencapaian mereka memang boleh dibanggakan. Tapi untuk merealisasikan Misi 33 Piala Malaysia, mereka perlu mengatasi kelemahan ketara di bahagian serangan.

Penyerang Mohd Afiq Azmi dan Guilherme De Paula tampak kurang menyengat. Mujur mereka memiliki bahagian sayap dan tengah menyerang yang bagus untuk menutup sedikit kelemahan itu.

Pemain seperti Ahmad Hazwan Bakri dan pemain import Indonesia Andik Vermansyah sering menjadi penyelamat Red Giants musim ini dengan membantu kemenangan mereka.

Bahagian pertahanan yang dikemudi kapten Mohd Shahrom Kalam juga memberikan kekuatan untuk Selangor namun untuk bertahan semata-mata bukan jalan terbaik di peringkat ini.

Jurulatih Mehmet Durakovic perlu memikirkan bagaimana cara untuk ‘mengeluarkan’ segala kebolehan yang ada dalam diri Afiq dan De Paula jika mereka mahu mengelak daripada tersingkir dalam saingan kumpulan maut ini.

Tahun lalu mereka terkandas di suku akhir di tangan FELDA United dan bagi Durakovic, tekanan pasti dirasai selepas Selangor terus ketandusan piala di peringkat domestik sejak 2010.

Tanpa sebarang kejayaan musim ini, kedudukannya pasti tergugat dan saingan Piala Malaysia menjadi peluang terakhir untuknya membuktikan kemampuan.

Apapun saya percaya sokongan fanatik penyokong Merah Kuning yang membanjiri gelanggang keramat mereka, Stadium Shah Alam mampu melonjakkan lagi semangat anak buah Durakovic dalam kempen ini.”

INFO

- NAMA PASUKAN: Selangor

- GELARAN: Red Giants

- PENCAPAIAN LIGA SUPER 2015: Tempat ke-3

- PENCAPAIAN PIALA MALAYSIA 2014: Suku akhir

- JUARA PIALA MALAYSIA: 32 kali

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 8:57 AM