Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Bangi: Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd (www.sitikhadijah.com) komited meluaskan rangkaian butiknya di seluruh negara apabila merancang membuka butik Siti Khadijah yang kelima di Kota Bharu, Kelantan suku pertama tahun ini.

Pengasasnya, Padzilah Enda Sulaiman berkata, setakat ini, terdapat empat butik Siti Khadijah di sekitar Lembah Klang dan Johor selain mempunyai pusat jualan di Jakarta, Indonesia di bawah jenama Mukena SK.

Katanya, Siti Khadijah juga sudah berada di pasaran Brunei dan Singapura serta mendapat sambutan begitu menggalakkan di negara terbabit.

“Siti Khadijah memfokus pada jualan telekung eksklusif dengan pilihan koleksi Original, Klasik serta Moden dan terbaru kami turut memperkenalkan koleksi keempat iaitu Harmoni yang menampilkan reka bentuk gabungan ketiga-tiga koleksi sebelum ini.

“Kelebihan telekung Siti Khadijah rekaan pada muka yang selesa dipakai dan terletak pada wajah, tidak longgar dan membuatkan wajah nampak lebih kemas,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, syarikat mencatatkan peningkatan jualan antara 20 hingga 30 peratus setiap tahun sejak jenama Siti Khadijah dilancarkan pada 2009.

Padzilah berkata, 80 peratus jualan syarikat disumbangkan pasaran offline manakala 20 peratus secara online dan tahun lalu saja pihaknya menjual 40,000 telekung Siti Khadijah.

Katanya, tahun ini pihaknya menyasarkan 60,000 jualan telekung Siti Khadijah terutama disumbangkan dengan koleksi terbaru, Harmoni.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 8:04 AM