SELESA digunakan ketika bersolat kerana ketebalan kainnya.
SELESA digunakan ketika bersolat kerana ketebalan kainnya.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Sempena pelancaran rasmi butik Siti Khadijah Kuala Lumpur, baru-baru ini, jenama busana dan telekung itu melancarkan variasi telekung baru yang memberikan keselesaan ketika bersolat.

Pengasas Telekung Siti Khadijah, Padzilah Enda Sulaiman berkata, koleksi telekung terbaru iaitu Classic Cotton Jaquard (CCJ) yang berharga RM255 itu mempunyai keunikan tersendiri apabila materialnya ditenun terus dengan corak motif bunga.

Menurutnya, untuk koleksi itu tiga variasi bunga diperkenalkan iaitu corak Parsley, Rossy dan Jasmine selain CCJ didatangkan dengan reka bentuk muka klasik serta lapisan dalam penuh.

“Ia memberikan keselesaan kepada pengguna yang mahukan kain tebal ketika bersolat selain mempunyai keunikan corak bunganya.

“Selain telekung CCJ, kami turut melancarkan koleksi eksklusif terbaru Kasa Rubiah 2.0 khusus kepada pelanggan setia kami,” katanya.

Padzilah Enda berkata, pelancaran butik terbaru itu dilakukan bagi memaklumkan lokasi baru butik Siti Khadijah yang sebelum ini bertempat di Maju Junction dan kini berada di aras dua, Busana @ Menara Mara Kuala Lumpur.

“Majlis ini juga diadakan bagi meraikan pelanggan setia Siti Khadijah di kawasan Kuala Lumpur yang sentiasa menyokong kami sejak enam tahun penubuhannya.

“Koleksi Siti Khadijah juga akan secara rasminya memasuki pasaran Indonesia bermula Jun depan di bawah jenama Mukena Siti Khadijah (Mukena SK),”ujarnya.

Menurut Padzilah Enda, Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd kini meluaskan sayapnya di pantai timur selepas pembukaan butiknya di Kelantan, Mac lalu dan di Dataran Austin, Gong Badak, Terengganu, 30 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 5:12 AM