YASMIN (kiri) dan Andy memeterai MoU. FOTO Sri Ayu Kartika Amri
YASMIN (kiri) dan Andy memeterai MoU. FOTO Sri Ayu Kartika Amri
Sri Ayu Kartika Amri


Jakarta: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC), terus mengorak langkah membantu syarikat teknologi tempatan menerusi perjanjian persefahaman bersama syarikat pemodal teroka Indonesia, Kejora Group (Kejora).

Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Yasmin Mahmood berkata, pihaknya komited untuk meluaskan lagi sektor teknologi dua negara yang membabitkan pasaran, keupayaan pembangunan, risiko modal serta kekangan teknologi dan perniagaan.

Katanya, Kejora menyediakan jaringan terbaik kepada syarikat teknologi tempatan termasuk syarikat yang baru bermula untuk menembusi pasaran Indonesia selain membantu berkaitan dengan model perniagaan dan sumber kewangan (pelabur).

"Kerjasama antara MDeC dan Kejora ini adalah langkah terbaik bagi memastikan syarikat teknologi Malaysia memperkembangkan pasaran mereka ke peringkat serantau. Indonesia dilihat mempunyai potensi besar dalam negara Asean terutama dalam sektor teknologi.

"MDeC telah menyediakan 'pintu' pasaran melalui perjanjian ini dan objektif utama kami adalah supaya ekonomi digital Malaysia akan berkembang dan begitu juga bagi pasaran Indonesia," katanya di majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Kejora di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kejora Group, Andy Zain.

MDeC telah mengenal pasti syarikat yang mempunyai potensi untuk menembusi pasaran global.

Sebanyak 31 syarikat berstatus MSC telah dibawa ke Jakarta, Indonesia bagi program padanan perniagaan dan membuat pembentangan dengan syarikat berpotensi yang dipilih Kejora.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 5:00 PM