PROTON Preve. FOTO ihsan Proton
PROTON Preve. FOTO ihsan Proton
Nabil Basaruddin


Shah Alam: Proton Holdings Berhad (Proton) kembali menembusi pasaran automotif Chile dengan mengeksport 1,000 unit Proton Preve dengan jangkaan pelbagai prospek pengukuhan jenama kereta nasional itu secara global.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Harith Abdullah berkata, sebanyak 50 unit Proton Preve dengan pemanduan sebelah kiri (LHD) akan dieksport ke San Antonio dan dijual menerusi anak syarikat Kaufman Group, Andes Motor sebagai pengedar bagi Chile yang menandatangani Perjanjian Pengedar bersama Proton pada 1 Julai tahun lalu.

Beliau berkata, rancangan eksport semula ke Chile bermula apabila Malaysia memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan negara itu pada Februari 2012.

"Proton menikmati pengecualian duti import sebanyak enam peratus menerusi inisiatif FTA Malaysia-Chile yang telah dimeterai itu dan ia memberi peluang kepada kami untuk mengenal pasti pasaran berpotensi bagi kenderaan LHD," katanya pada majlis perasmian pelepasan kumpulan pertama Proton Preve ke Chile di sini, hari ini.

Tambahnya, eksport terakhirnya ke Chile membabitkan model Proton Wira pada 1998 yang turut mendapat perhatian penduduk negara berkenaan.

Selain model Preve, Proton akan mengeksport model Exora dan Saga pada November tahun ini menerusi pelbagai fasa penghantaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 12:50 PM