BIDANG keusahawanan yang diperkenalkan sebagai satu modul di IPT boleh membantu siswa mengalihkan kebergantungan terhadap pihak lain untuk menawarkan peluang pekerjaan. - Gambar Google
BIDANG keusahawanan yang diperkenalkan sebagai satu modul di IPT boleh membantu siswa mengalihkan kebergantungan terhadap pihak lain untuk menawarkan peluang pekerjaan. - Gambar Google
KURANGNYA minat siswazah menceburkan diri dalam bidang keusahawanan mungkin didasari kehendak mereka yang mahukan pekerjaan bergaji tetap. - Gambar Google
KURANGNYA minat siswazah menceburkan diri dalam bidang keusahawanan mungkin didasari kehendak mereka yang mahukan pekerjaan bergaji tetap. - Gambar Google

Oleh Ruhaiza Rusmin

Biarpun keusahawanan mampu menjanjikan prospek yang baik serta pulangan pendapatan lumayan, masih ramai graduan yang melihat dari sudut berbeza mengenai bidang ini.

Mungkin apa yang terlintas ialah keusahawanan memerlukan modal besar, jaringan perhubungan kukuh ataupun terpaksa berhempas pulas demi menjamin pendapatan.

Bekerja dengan sektor swasta atau kerajaan dengan jaminan gaji bulanan dianggap lebih selamat berbanding mengusahakan pekerjaan dengan jerih diri sendiri.

Justeru, memang agak jarang kedengaran, cita-cita golongan terbabit mahu menjadi usahawan berjaya atau paling tidak memulakan langkah pertama menerusi perniagaan kecil-kecilan.

Mereka masih lagi meletakkan kebergantungan kepada sektor lain menyebabkan modul keusahawanan diketengahkan institusi pengajian tinggi (IPT) masih belum berupaya mencapai matlamat disasarkan.

Ketua Unit Pembangunan Keusahawanan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kampus Kuantan, Pahang, Profesor Madya Dr Norazlanshah Hazali berkata, 'penolakan' siswa atau bakal graduan untuk menceburi bidang keusahawanan didorong beberapa faktor antaranya kurang minat, pendedahan, maklumat serta beranggapan bidang ini hanya boleh dikuasai individu tertentu.

Menurutnya, kekurangan maklumat dan pemahaman menyebabkan golongan itu tidak mahu terbabit dengan keusahawanan biarpun dari segi prospek ia mampu memberi pendapatan lumayan.

"Mentaliti yang sudah sebati dengan maklumat salah menyebabkan keusahawanan agak terpinggir dalam minda siswa, sedangkan keusahawanan adalah prospek kerjaya cerah yang boleh diceburi tanpa keperluan pengalaman luas atau pengkhususan jurusan.

"Yang diperlukan ialah keazaman, kegigihan serta keinginan tinggi untuk memperoleh ilmu bagaimana keusahawanan mampu menjana pendapatan," katanya.

Beliau tidak menyangkal, penolakan itu juga rentetan sikap siswa yang lebih suka makan gaji selepas menamatkan pengajian.

"Dengan makan gaji, mereka tidak perlu bersusah payah memikirkan pelbagai masalah antaranya kerugian dan ditipu.

"Apatah lagi mereka juga baru saja memulakan kehidupan, justeru pendapatan tetap bagi melangsaikan keperluan lain seperti pinjaman pengajian sangat penting.

"Bagi mereka keusahawanan tidak mampu memberikan jaminan seperti dikehendaki, tambahan pula dengan kurangnya pengalaman atau modal," katanya.

Dalam konteks keusahawanan, apa yang penting ialah pengetahuan yang mendalam dalam bidang diceburi, keinginan kuat untuk berjaya, berdisiplin, memberi tumpuan dalam perniagaan serta berusaha membentuk jaringan perniagaan luas.

"Dilihat syarat diperlukan, memang tidak sukar pun untuk menjadi usahawan. Semuanya sangat asas tapi tanpa ilmu juga tidak mencukupi bagi siswa menceburkan diri dalam bidang ini.

"Sebab itu, modul keusahawanan diperkenalkan bertujuan melahirkan lebih ramai lagi usahawan siswazah yang akan bertindak sebagai pemangkin dan penggerak kepada transformasi ekonomi negara," katanya.

Kewujudan Dasar Pembangunan Keusahawanan Institut Pengajian Tinggi bertujuan menggalakkan serta memantapkan pembangunan keusahawanan lebih terancang dan holistik dalam kalangan IPT tempatan.

Ia juga bagi melahirkan modal insan berkualiti dan mempunyai pemikiran, atribut dan nilai keusahawanan.

Usahawan siswazah juga bertindak sebagai pemangkin transformasi ekonomi negara kepada ekonomi berpendapatan tinggi dan berpaksikan inovasi ke arah pencapaian status negara maju menjelang 2020.

Beliau berkata, antara usaha awal boleh dilakukan siswa untuk memantapkan dan mengukuhkan pemahaman mengenai keusahawanan ialah menceburi bidang perniagaan atas talian.

Menurutnya, siswa seharusnya kreatif dan menggunakan ledakan teknologi maklumat sebagai sokongan untuk memulakan langkah dalam keusahawanan.

"Sebagai generasi Y, teknologi sudah tentu sesuatu yang bukan asing dan boleh memanfaatkannya bagi menjana pendapatan.

"Ia mudah, hanya di hujung jari dan boleh dilakukan pada bila-bila masa.

"Bagaimanapun, bukan semua tahu memanfaatkan peluang di depan mata ini dan lebih suka mencuba perkara lain," katanya yang mengakui perniagaan atas talian juga boleh dijadikan platform siswa meraih pendapatan sampingan.

"Siswa hari ini perlu mengubah mentaliti iaitu memasuki universiti atau kolej bukan sekadar mahu merebut ilmu sedia ada tapi boleh meneroka pelbagai lagi cabang pengetahuan.

"Perniagaan atas talian juga salah satu cabang keusahawanan alaf baru yang boleh diteroka.

"Namun, mengapa ia kurang dimanfaatkan, sedangkan impaknya sangat tinggi serta menjadi antara medium utama yang boleh diguna pakai bagi memulakan minat dalam bidang ini," katanya.

Beliau turut mengakui, keterujaan siswa terhadap aspek keusahawanan belum memberangsangkan kerana masih dibelenggu pemikiran lama dan lebih terarah kepada akademik semata-mata.

"Saya tidak nafikan, keputusan dalam akademik penting tapi siswa juga perlu keluar dari kepompong lama untuk berani meneroka pengalaman dan ilmu baru.

"Mereka juga perlu berani mencabar diri, selain menukar pandangan salah mengenai keusahawanan.

"Ini juga bagi membantu mereka daripada terus meletakkan kebergantungan kepada pihak lain, sekali gus meningkatkan lagi masalah pengangguran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 January 2015 @ 5:01 AM