DR AINI (berdiri enam dari kanan), Dr Hawa (berdiri tujuh dari kiri) dan Renuganth (tengah) bersama penaja serta pemenang utama.
DR AINI (berdiri enam dari kanan), Dr Hawa (berdiri tujuh dari kiri) dan Renuganth (tengah) bersama penaja serta pemenang utama.
Mohamad Hussin

Pendidikan dan pembangunan keusahawanan agenda penting bagi memastikan sistem pendidikan tinggi negara sentiasa berdaya saing dan bergerak mengikut permintaan serta perkembangan semasa.

Sehubungan itu, Pelan Tindakan Keusahawanan Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2016-2020 memberi penekanan terhadap pengukuhan ekosistem dalam melahirkan lulusan IPT yang mempunyai orientasi pemikiran keusahawanan.

Ia termasuk graduan yang cenderung terhadap kerjaya sebagai usahawan dan mencipta peluang pekerjaan.

Kepentingan kumpulan terdiri daripada ahli akademik dan pentadbir juga diberi perhatian dalam merangka strategi bagi memastikan agenda keusahawanan IPT dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Naib Canselor UPM Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, manifestasi agenda keusahawanan di IPT diukur melalui beberapa pencapaian utama seperti bilangan dan impak pembabitan pelajar dalam aktiviti serta pembelajaran keusahawanan.

Beliau berkata, penekanan impak agenda keusahawanan di IPT ialah terhadap kesan jangka panjang daripada proses pembelajaran dalam melahirkan dan membangunkan insan berkualiti untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

“Usaha untuk memperkukuhkan keusahawanan sama ada ke arah pemikiran keusahawanan (entrepreneurial mindset) atau kecenderungan untuk menjadi seorang usahawan melalui pendidikan terbukti mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Menyelesaikan isu pengangguran dalam kalangan golongan muda, meningkatkan tahap sosio ekonomi sesebuah masyarakat dan mengurangkan jurang di antara golongan berada dan miskin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Cabaran Keusahawanan Dagang 2016 (TRADEC’16) dan Cabaran Integrasi Keusahawanan Ekonomi Wanita (iKEKWA1.0) di UPM, Serdang, baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM Prof Dr Renuganth Varatharajoo dan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPM Prof Madya Dr Hawa Jaafar.

Pada majlis itu, 17 pelajar UPM terpilih mengikuti program berkenaan sekali gus membantu mereka meningkatkan strategik antara siswa, universiti dan industri melalui aktiviti perniagaan.

Aini berkata, UPM komited melaksanakan program itu bagi melahirkan usahawan baru dalam kalangan pelajar.

“Ia selaras dengan dasar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melahirkan usahawan siswazah yang bertindak sebagai pemang­kin kepada transformasi ekonomi negara ke arah pencapaian status negara maju menjelang 2020.

“Perniagaan dagang atau trading satu bidang perniagaan yang boleh dimulakan walaupun berbekalkan modal kecil. Malah, peserta TRADEC’16 dan iKEKWA1.0 juga boleh melihat potensi membekalkan perkhidmatan dan bekalan kepada agensi kerajaan dan badan berkanun.

“Sebagai usahawan baru, masih banyak perlu dilakukan dan dipelajari. Belajarlah daripada mentor yang berjaya dan jangan berhenti menambah ilmu, contohnya mengikuti kursus berkaitan keusahawanan bagi memantapkan keyakinan diri,” katanya.

Menurutnya, iKEKWA1.0 adalah program baru keusahawanan UCTC yang modulnya dirangka untuk mendekatkan siswa UPM dengan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dan komuniti.

“Pengurusan universiti yakin kolaborasi Strategi Lautan Biru ini wajar diteruskan dan memberi impak positif dalam membantu usahawan meningkatkan pengurusan dan pemasaran produk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 11:29 AM