NOORUL Ainur  (dua dari  kanan)  melawat gerai di pusat beli-belah Berjaya Times Square, semalam.
NOORUL Ainur (dua dari kanan) melawat gerai di pusat beli-belah Berjaya Times Square, semalam.
Garret Dawum


Kuala Lumpur: Pameran Keusahawanan Siswa akan terus diadakan setiap bulan di pusat beli-belah sekitar ibu kota dan diperluaskan ke kawasan pantai timur dan utara Semenanjung.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur berkata, pembabitan mahasiswa dalam bidang keusahawanan yang semakin meningkat akan membantu dalam pelaksanaan program itu.

“Saya berbangga apabila semakin ramai mahasiswa menjalankan perniagaan ketika dalam pengajian dan berusaha membina keyakinan diri mendepani cabaran dunia keusahawanan.

“Saya difahamkan, ada mahasiswa yang sudah mampu mengaut keuntungan sehingga RM6,000 setiap bulan dengan pelbagai perniagaan yang dijalankan dan ia menjadi motivasi kepada mahasiswa lain,” katanya di Siswapreneur Showcase Siri 2 di Berjaya Times Square, di sini, semalam.

Program tiga hari yang dijalankan bermula 9 hingga 11 Jun itu adalah anjuran KPT dengan tema Hayati Ramadan, Syukuri Syawal selepas siri pertama pada 29 April hingga 1 Mei lalu di The Curve, Damansara.

Pelbagai aktiviti diadakan seperti perkongsian Biz Feed Gen-Y usahawan siswa, cabaran keusahawanan sebenar, demonstrasi dan persembahan pentas serta pameran produk hasil mahasiswa.

Menurut Dr Noorul Ainur, mahasiswa yang terbabit dalam keusahawanan juga akan memenuhi agenda besar kementerian yang mahu menjadikan mahasiswa sebagai pencipta kerjaya bukan pencari kerja selepas adanya pengalaman berniaga ketika belajar.

“Pameran keusahawanan ini antara platform terbaik mahasiswa untuk mewujudkan ekosistem perniagaan kerana mereka dapat mempraktikkan ilmu dan kemahiran keusahawanan yang dipelajari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 9:05 AM