BASIKAL Elektrik menjadi pencetus program keusahawan UNITEN.
BASIKAL Elektrik menjadi pencetus program keusahawan UNITEN.
TURUT menjemput selebriti yang berjaya bagi berkongsi kejayaan sebagai usahawan.
TURUT menjemput selebriti yang berjaya bagi berkongsi kejayaan sebagai usahawan.
SEMINAR keusahawanan sentiasa dijalankan di pusat keusahawanan.
SEMINAR keusahawanan sentiasa dijalankan di pusat keusahawanan.
 DUA ratus basikal yang diterima melalui program Sikal Elektrik Rakyat 1 Malaysia (SER1M).
DUA ratus basikal yang diterima melalui program Sikal Elektrik Rakyat 1 Malaysia (SER1M).
KEJAYAAN sebahagian peserta yang mengikuti pusat keusahawanan.
KEJAYAAN sebahagian peserta yang mengikuti pusat keusahawanan.
Fazurawati Che Lah


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah menyampaikan amanat kepada rakyat untuk mentransformasikan Malaysia kepada sebuah negara yang membangun dan berpendapatan tinggi.

Beliau turut menyatakan pendidikan tinggi boleh dijadikan wadah melahirkan modal insan yang berkemampuan untuk menyahut cabaran dan turut menekankan peri pentingnya institusi pengajian tinggi sebagai jantung bangsa berperanan membina tamadun serta kekuatan rakyat negara ini.

Oleh itu, semua universiti awam mahupun institusi pengajian tinggi swasta diminta memenuhi kehendak dan keperluan pada masa ini bagi memastikan kelestarian ilmu sentiasa terpelihara.

Menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025 dijelaskan lonjakan pertama dalam pelan itu adalah untuk melahirkan graduan holistik yang mempunyai ciri-ciri keusahawanan dan seimbang.

Penubuhan Pusat Keusahawanan adalah batu asas kepada pelan jangka masa panjang ini. Ia adalah satu keperluan bagi setiap institusi pengajian tinggi untuk mempunyai satu pusat keusahawanan sendiri.

Hasrat kerajaan untuk menerapkan minda keusahawanan kepada penuntut, membantu sahsiah pelajar berfikir di luar kotak. Oleh itu, bertindak tanpa perlu disuruh dan bijak mencari ruang serta peluang untuk memajukan diri.

Inilah tujuan utama kerajaan mengukuhkan usaha keusahawanan ini, iaitu membentuk jati diri pelapis pemimpin negara yang berwawasan dan tidak gentar dengan cabaran.

Tidak ketinggalan, Pusat Keusahawanan UNITEN (UEC) yang ditubuhkan Disember lalu terus merangka strategi bagi memastikan projek itu terus mampan.

Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, program Sikal Elektrik Rakyat 1 Malaysia (SER1M) menjadi pencetus untuk menyemarakkan semangat keusahawanan dalam kalangan penuntut.

Seiring konsep Kampus Hijau, UNITEN antara enam universiti yang terpilih menerima pemberian 200 basikal elektrik melalui program SER1M.

Program ini dilaksanakan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) melalui Malaysian Green Technology Corporation (MGTC). Ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam mempromosikan dan menggalakkan penggunaan mobiliti rendah karbon terutama kepada belia.

Dr Kamal menjelaskan Pusat Keusahawanan UNITEN menyasarkan jualan basikal elektrik ini disalurkan ke tabung keusahawanan yang akan digunakan untuk merealisasikan projek keusahawanan.

Katanya, melalui program SER1M, siswa dapat mempelajari aspek teknikal Electric Pedal Assisted Bicycle (EPAB) dan model perniagaan yang dicadangkan dalam program ini atau mengikut model perniagaan universiti di bawah program keusahawanan pelajar.

“Basikal ini boleh dipajak, disewa beli atau dijual mengikut kesesuaian pelan perniagaan masing-masing.

“Ini secara tidak langsung dapat membantu pelajar meningkatkan pengalaman dan kemahiran dalam bidang perniagaan yang kemudian dapat dimanfaatkan sebagai persediaan bagi menempuh alam pekerjaan selepas tamat pengajian kelak,” katanya.

Selain itu,beliau berkata inisiatif untuk membentuk usahawan dalam kalangan penuntut dirancakkan lagi dengan pengenalan program incubator SPROUT.

Katanya, tujuan SPROUT adalah untuk meningkatkan bilangan usahawan dalam kalangan siswa.

Jelas beliau lagi, peringkat awalnya, SPROUT akan mengenal pasti pelajar yang mempunyai potensi sama ada produk atau perkhidmatan melalui usul permulaan.

“Selepas melalui saringan awal dan sesi ‘pitching’, pelajar dengan usul yang memperoleh peratusan boleh-laksana tinggi akan dianugerahkan Geran Permulaan SPROUT.

“Geran ini boleh digunakan pelajar untuk menghasilkan sesuatu produk atau perkhidmatan bagi projek keusahawanan mereka. Disebabkan SPROUT ini baru sahaja diperkenalkan, maksimum 10 orang siswa saja yang akan dberikan geran permulaan ini,” katanya.

Mereka akan dibimbing menjadi usahawan yang mampan dan berdaya saing, sesuai dengan kehendak serta keperluan industri masa kini.

Kejayaan pusat keusahawanan ini diteruskan lagi dengan termeterainya memorandum persefahaman antara Pusat Keusahawanan bersama empat syarikat besar milik alumni UNITEN.

Jaringan persefahaman ini dijalinkan adalah untuk mendapatkan sokongan moral dari segi motivasi dan latihan keusahawanan daripada pihak syarikat kepada mahasiswa Uniten.

Pusat Keusahawanan UNITEN terbahagi kepada empat komponen utama yang keseluruhannya disebut ekosistem. Bahagian itu adalah Koperasi Siswa, Kelab Usahawanan, program Sprout dan jaringan usahawan pelajar yang dinamakan E-Cell.

Pada masa sama pusat Keusahawanan itu turut menjalinkan memorandum persefahaman dengan beberapa institusi luar seperti Wadhwani Foundation, Akademi Usahawan Mikro, Sah Darussalam Sdn Bhd, Spark Capital Development Bhd dan Prisma Intelek Sdn Bhd bagi melancarkan perjalanan aktiviti keusahawanan yang bakal dijalankan dari masa ke masa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 2:12 PM