SEGULUNG ijazah tidak menjamin masa depan dan siswa perlu berfikir di luar kotak. - Gambar hiasan
SEGULUNG ijazah tidak menjamin masa depan dan siswa perlu berfikir di luar kotak. - Gambar hiasan
SISWA perlu mempunyai ciri keusahawanan dalam melahirkan graduan yang holistik.- Gambar hiasan
SISWA perlu mempunyai ciri keusahawanan dalam melahirkan graduan yang holistik.- Gambar hiasan
BIDANG keusahawanan dapat menjana pendapatan yang lumayan sekiranya komitmen tinggi diberikan. - Gambar hiasan
BIDANG keusahawanan dapat menjana pendapatan yang lumayan sekiranya komitmen tinggi diberikan. - Gambar hiasan
KEUSAHAWANAN juga menjadi satu medan siswa untuk mencipta kreativiti bersandarkan minat dalam bidang diceburi. - Gambar hiasan
KEUSAHAWANAN juga menjadi satu medan siswa untuk mencipta kreativiti bersandarkan minat dalam bidang diceburi. - Gambar hiasan
myMetro

Ketika Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperkenalkan modul keusahawanan di setiap institusi pengajian tinggi (IPT) pada tahun 2007, sasaran utamanya untuk memupuk minat siswa terhadap bidang perniagaan.

KPT turut menyasarkan matlamat melahirkan siswa yang tidak lagi bergantung kepada sektor awam atau swasta untuk mendapatkan pekerjaan.

Bagaimanapun, sikap prejudis dan sinikal masyarakat sukar ditepis kerana mereka melihat keupayaan siswa masih terbatas untuk mengemudi perniagaan.

Tanggapan kurang pengalaman, tiada suntikan modal dan manja sering dilemparkan kepada siswa hingga hampir merencatkan matlamat itu.

Bagaimanapun, kini sebahagian siswa dan siswazah menyahut cabaran itu dan terbukti mereka berjaya dalam bidang keusahawanan.

Ada yang menceburi bidang pertanian menerusi program siswazah tani, malah lebih ramai berjaya menerusi perniagaan dalam talian (online) berikutan ledakan teknologi maklumat.

Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) Malaysian Academy of SME & Entrepreneurship Development (MASMED) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Razmi Chik berkata, usaha mentransformasikan minda siswa agar melihat keusahawanan dalam skop lebih luas makin menampakkan hasil.

Beliau berkata, dalam tempoh hampir sedekad sejak pengenalan modul itu, pelbagai inisiatif dilakukan KPT dan IPT untuk merealisasikan matlamat melahirkan lebih ramai usahawan muda dalam kalangan siswa dan siswazah.

“Pengenalan modul ini walaupun pada peringkat awalnya memperlihatkan banyak persepsi negatif dilemparkan, namun komitmen KPT dan IPT tidak pernah berkurangan.

“Cabaran memperkenalkan modul keusahawanan pada peringkat awal sangat sukar dan janggal pada waktu itu.

“Bagaimanapun, kita perlu berani berubah kerana sektor pekerjaan makin hari makin kritikal. Keusahawanan dilihat antara penyelesaian terbaik bagi mengelak golongan itu menganggur,” katanya.

Menurut beliau, penerapan modul keusahawanan dapat membantu golongan itu memiliki ilmu asas untuk berniaga.

“Ramai beranggapan berniaga memerlukan modal besar, perlu ada kedai dan sebagainya. Tanggapan itu salah.

“Yang penting ada ilmu dan dari situ mereka boleh membina pengalaman dan pengetahuan serta belajar selok-belok yang lebih kompleks.

“Di IPT, modul keusahawanan menggabungkan pelbagai elemen seperti teknologi maklumat, pengiraan, komunikasi dan sebagainya bagi membantu melengkapkan persediaan siswa memulakan langkah pertama sebagai usahawan,” katanya.

Beliau memberi contoh ramai siswa kini sudah memiliki perniagaan dalam talian sendiri sebagai ejen dropship atau berniaga sambil belajar di kampus.

“Ini permulaan yang bagus kerana mereka berusaha menggabung dan mengaplikasikan ilmu dipelajari, selain mencari peluang atau maklumat perniagaan.

“Ia juga akan mendorong pensyarah melipatgandakan usaha mencari maklumat mengenai keusahawanan untuk diaplikasikan dalam pembelajaran dan pengajaran mereka.

“Sebenarnya modul keusahawanan bertindak sebagai serampang dua mata iaitu kepada pensyarah dan siswa. Kedua-dua pihak memperoleh manfaatnya,” katanya.

Dr Razmi berkata, ilmu keusahawanan perlu diterapkan kepada siswa pada peringkat awal agar supaya mereka melihat kepentingannya.

“Bidang keusahawanan boleh menjana pendapatan lumayan jika dilakukan dengan penuh komitmen.

“Bagi siswa yang bijak, mereka sentiasa merebut peluang itu kerana ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara.

“Sebenarnya tiada alasan untuk siswa tidak menceburi bidang ini kerana ia bukan perkara baru. Yang perlu, mulakan langkah pertama,” katanya.

Beliau berkata MASMED antara usaha UiTM bukan saja untuk menerapkan modul keusahawanan dalam kalangan siswa, malah tenaga pengajar agar mampu mengemblengkan ilmu dengan lebih praktikal.

“Usaha ini disepadukan bagi membantu kedua-dua pihak memperoleh manfaat serampang dua mata menerusi modul keusahawanan.

“Ia bukan saja demi kelangsungan hidup siswa tapi juga memberi pendedahan kepada pensyarah agar mampu mengaplikasikan ilmu kepada golongan sasaran dengan lebih terancang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 5:01 AM