Ferzalfie Fauzi


Sibu: Peminat badminton tempatan di Sibu mungkin berasa terkilan apabila seorang demi seorang pemain bintang negara tidak beraksi pada kejohanan Masters Malaysia bermula di sini esok.

Terkini pasangan nombor satu dunia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dikhabarkan akan mengikut jejak langkah perseorangan lelaki Datuk Lee Chong Wei, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menarik diri daripada kejohanan bertaraf Grand Prix Emas itu.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu dikatakan terlalu penat selepas beraksi di Liga Badminton India dan Purple League.

V Shem-Wee Kiong mungkin akan memberi fokus sepenuhnya kepada latihan dan dijangka membuat penampilan sulung musim ini pada kejohanan Seluruh England, Mac depan.

Bagaimanapun, pengesahan mengenai penarikan diri mereka akan diketahui selepas mesyuarat pengurus pasukan hari ini.

Sebelum ini, Chong Wei yang juga penyandang juara sudah mengumumkan tidak akan beraksi di Stadium Tertutup Sibu, kerana mahu mengehadkan penyertaan kerana fokus utama adalah Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos depan.

Iskandar pula yang muncul naib juara tahun lalu memberitahu media minggu lalu dia sedang bergelut dengan kecederaan pinggang, manakala Liu Ying pula berdepan masalah sakit lutut.

Ketiadaan pemain utama negara kali ini menyaksikan skuad negara akan mengharapkan aksi cemerlang daripada gandingan beregu campuran kedua negara yang sekarang ini menghuni tangga kesembilan dunia, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan pasangan sedang meningkat Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2017 @ 12:00 PM