TEMPOH penggantungan Chong Wei masih menjadi tanda tanya.
TEMPOH penggantungan Chong Wei masih menjadi tanda tanya.
RASHID cetus kontroversi.
RASHID cetus kontroversi.
VIVIAN dan Khe Wei galas cabaran beregu wanita negara.
VIVIAN dan Khe Wei galas cabaran beregu wanita negara.
Oleh Ferzalfie Fauzi

Bermula dengan kejayaan, berakhir dengan persoalan. Itulah senario berlaku dalam sukan badminton 2014 negara yang boleh disimpulkan sebagai pencapaian sederhana kecuali berjaya muncul naib juara Piala Thomas di New Delhi.

Pada awalnya di Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2014 Januari lalu, Datuk Lee Chong Wei dan gandingan beregu lelaki, Goh V Shem-Lim Khim Wah mencatat kejayaan membanggakan di gelanggang sendiri.

Ia satu permulaan positif buat pemain negara terutamanya Chong Wei yang terus cemerlang dengan muncul juara Seluruh England Mac lalu, menumbangkan Chen Long dari China.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus mendapat pujian walaupun ada yang melempar kritikan apabila anak buah mereka sekali lagi membuat kejutan mara ke final Piala Thomas namun malangnya kecundang kepada Jepun.

Di sebalik kejayaan awal tahun, arena badminton negara juga tidak sunyi dengan pelbagai kontroversi sehingga menimbul pertanyaan kredibiliti BAM termasuk kontroversi membabitkan jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek sehinggalah kes doping Chong Wei.

Rashid membuat kenyataan terbuka tidak mahu mengetuai pasukan ke Sukan Komanwel Glasgow namun selepas itu membuat pusingan U di saat akhir.

Sebaik berakhir temasya itu, beliau sekali lagi menjadi tumpuan kali ini disebabkan kegagalan pemain perseorangan Chong Wei Feng dan Liew Daren meraih pingat emas, sehingga Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff membidas bekas pemain negara itu di media.

Kontroversi paling besar sudah tentu membabitkan Chong Wei yang gagal ujian doping pada Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen sehingga memaksa Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengenakan penggantungan sementara buatnya sebelum Panel Perbicaraan Doping badan dunia itu bersidang bulan depan.

Ia bukan saja mendapat tumpuan media tanah air tetapi juga antarabangsa berikutan statusnya selaku pemain nombor satu dunia dan pernah meraih pingat perak Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London).

Sehingga hari ini, masih belum ada sebarang keputusan mengenai tempoh penggantungan yang bakal dikenakan terhadapnya sehingga perbicaraan dijalankan.

Pada final Kejohanan Dunia itu Chong Wei tumpas kepada Chen Long dan dia kemudian didapati positif bahan terlarang dexamethasone.

Setidak-tidaknya BAM masih boleh menghela nafas lega di sebalik semua kontroversi itu terutama mengenai peningkatan pasangan beregu negara baik lelaki dan wanita di beberapa kejohanan utama termasuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia 2014 Incheon.

Gandingan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dilihat mampu menggantikan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong selepas meraih emas di Glasgow dan gangsa di Incheon.

Situasi sama juga menerusi gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei tatkala mereka tidak diletakkan harapan untuk memenangi pingat pada kedua-dua temasya berkenaan.

Sebaik berlabuhnya tirai 2014 ini, badminton negara akan meninggalkan persoalan sukar mengenai nasib Chong Wei dan siapa pula akan menggalas harapan negara. Jawapannya mungkin ada pada BAM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 5:01 AM