Kuala Lumpur: Jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan mengakui anak buahnya Goh V Shem-Tan Wee Kiong mampu menjadi senjata sulit mengalahkan Korea Selatan pada aksi pertama Kumpulan D Piala Sudirman di Dongguan, esok.

Menurutnya, jika V Shem-Wee Kiong berjaya mencatat kemenangan untuk aksi beregu lelaki setidak-tidaknya Malaysia mampu mencuri satu mata yang sebelum ini di atas kertas menjadi milik Korea Selatan.

Korea Selatan sudah pasti menurunkan gandingan Lee Yong Dae-Yoo Yeong Seong iaitu pemain beregu lelaki nombor satu dunia.

“Walaupun mereka masih bergelut dengan prestasi tidak menentu dalam beberapa kejohanan sebelum ini, namun saya percaya sesuatu yang positif akan dilakukan V Shem-Wee Kiong apabila bertemu Yong Dae-Yeong Seong,” katanya.

Jelasnya, V Shem-Wee Kiong mempunyai satu perangai iaitu kalau bermain menentang lawan yang lebih bagus, semangat mereka cukup luar biasa, mereka akan memberi saingan sengit untuk cuba mencatat kemenangan.

“Sebab itu, kini saya lebih fokus kepada persiapan mental dan jiwa mereka. Segala-galanya akan bermula daripada jiwa mereka dan mereka perlu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Bagaimanapun saya sedar untuk menang ke atas Yong Dae-Yeong Seong bukan mudah tapi jika V Shem-Wee Kiong dapat menghadiahkan satu mata, peluang mengatasi Korea Selatan lebih cerah,” kata Jeremy.

Ujarnya, jika V Shem-Wee Kiong yang muncul naib juara Terbuka Switzerland Mac lalu berjaya mengutip mata, ia sudah pasti membuka peluang kepada Malaysia menewaskan Korea Selatan dengan syarat jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut menyumbang mata.

Malaysia dilihat sukar meraih mata dalam acara perseorangan wanita menerusi Tee Jing Yi dan beregu wanita yang digalas Vivian Hoo-Woon Khe Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 6:44 AM