Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan berusaha membuat rayuan agar Datuk Lee Chong Wei boleh beraksi di Siri Super Terbuka Australia dan Siri Super Premier Terbuka Indonesia 2015.

Menurut Pengarah Teknikal BAM Morten Frost Hansen, walaupun kedua-dua tarikh untuk menyenaraikan pemain di kedua-dua kejohanan itu sudah tutup, mereka akan membuat rayuan untuk Chong Wei.

“Kami mahu Chong Wei beraksi dalam semua kejohanan bertaraf Siri Super termasuk Terbuka Australia dan Indonesia,” katanya pada sidang media di ibu pejabat BAM di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Chong Wei sebelum ini boleh menyertai Piala Sudirman dan Sukan SEA 2015 Singapura apabila Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan hukuman dikenakan terhadapnya hanya lapan bulan.

Hukuman itu bermula Ogos tahun lalu dan berakhir esok apabila dia didapati menggunakan bahan terlarang dexamethasone di Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen.

“Saya tidak kata perkara ini akan berlaku tetapi kita akan buat rayuan serta paling terbaik buat Chong Wei.

“Mengenai peluangnya beraksi di Kejohanan Dunia, kita akan tunggu ranking dunia yang bakal dikeluarkan BWF esok tetapi saya rasa ia bukan satu isu,” katanya.

Ini disebabkan ranking Chong Wei mungkin akan terus menjunam dan dua pemain terbaik Malaysia dihuni Chong Wei Feng dan Zulfadli Zulkiffli.

“Kita memang menyokong Chong Wei 100 peratus untuk disenaraikan ke kejohanan itu,” kata Frost.

Dalam pada itu, Frost mengesahkan Lim Pek Siah akan memulakan tugas sebagai jurulatih beregu wanita Jumaat ini bersama seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Wong Pei Tty.

“Mereka berdua akan dibahagikan tugas melatih enam pasangan beregu wanita dan setiap seorang akan mengawasi tiga pasangan. Wong Tat Meng pula membimbing perseorangan wanita Tee Jing Yi, Sonia Cheah, Ho Yen Mei dan Lim Yin Fun.

“Rony Agustinus melatih pemain perseorangan wanita lain, Goh Jin Wei dan Lee Ying Ying, manakala Jeremy Gan memantau beregu lelaki seperti Tan Wee Kiong-Goh V Shem, Mak Hee Chun-Teo Kok Siang, Chooi Kah Ming-Ow Yao Han,” katanya.

Selepas menyenaraikan tugas Hendrawan melatih Chong Wei, Liew Daren, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Cheam June Wei, Frost mengumumkan Tey Seu Bock mengawasi Chong Wei Feng, Goh Soon Huat, Soong Joo Ven dan R Satheishtharan.

“He Guo Quan pula mengawasi Soo Teck Zhi, Lim Chi Wing dan Chong Yee Han. Manakala beregu campuran membabitkan lima pasangan akan dilatih Tan Kim Her bersama Chin Eei Hui. Kini kita mempunyai 55 pemain dalam skuad kebangsaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 8:17 AM