PADANAN blaus lembut dan rompi bersama celana jean hasilkan gaya santai.
PADANAN blaus lembut dan rompi bersama celana jean hasilkan gaya santai.

Kombinasi fesyen dan model? Ia perkara biasa. Gandingan supermodel dan label mewah? Juga banyak dipertontonkan di pentas peragaan.

Namun apabila supermodel tampil untuk jenama mampu milik popular, Topshop, ia sememangnya padanan paling menarik dan disenangi fesyenista seluruh dunia.

Topshop hadir memperkenalkan koleksi musim bunga dan panasnya kali ini dengan memperkenalkan Cara Delevingne selaku wajah kempen yang dilancarkan 5 Januari lalu.

Dirakamkan di studio milik jurufoto terkenal, Alasdair McLellan dan ­digayakan oleh Pengarah Kreatif Topship Kate ­Phelan, kempen ini me­ngetengahkan paduan stail ringkas serta penuh estetika.

Cara tampil semula jadi dan selesa menggayakan beberapa helaian utama daripada koleksi ini termasuk gaun hitam ikonik yang disarungkannnya ketika menghadiri pembukaan butik ­Topshop di 5th Avenue, New York, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Menariknya, ini kempen ketiga Cara bersama Topshop dan kebanyakan koleksi kolaborasi ini terarah kepada helaian malar segar yang sesuai dipadankan untuk semua acara.

Bagaimanapun, Topshop masih mengekalkan unsur eksentriknya dengan ­beberapa potongan moden, sementara helaian feminin dipadankan bersama jaket biker penuh dengan motif paten yang disifat­kan ­sebagai salah satu helaian mesti ada untuk musim ini.

Pilihan warnanya lebih menjurus kepada palet polos dan majoriti menggunakan rona alam seperti putih, hijau lumut, hitam dan perang.

Aksesori pula tidak terhad kepada satu atau dua titik tumpuan dan Kate tampak gemar mencuba pelbagai jenis aksesori unik dalam penggayaan yang sarat.

Seperti apa yang ditekankan dalam koleksi Topshop sebelum ini, ­fesyen itu adalah sesuatu yang subjek­tif dan sedikit unsur keberanian perlu disuntik pada penggayaan pakaian agar ia dapat membantu memperlihatkan personaliti si pemakai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 5:00 AM