IMAAN Hammam selesa dengan celana pendek potongan lurus.
IMAAN Hammam selesa dengan celana pendek potongan lurus.
SOPHIA Ahrens santai menggayakan Leigh, celana skinny berpinggang sederhana.
SOPHIA Ahrens santai menggayakan Leigh, celana skinny berpinggang sederhana.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Denim tidak pernah menghampakan. Padankan dengan apa saja, denim pasti serasi. Denim atau jean ini sememangnya tidak lapuk ditelan zaman.

Meskipun bermacam trend muncul musim demi musim, celana denim tetap menjadi pilihan sama ada untuk kasual mahupun elegan.

Ia pakaian asas dalam gaya seharian golongan muda, sementara denim biasanya jadi pilihan hujung minggu bagi mereka yang lebih berusia.

Tidak lengkap kehadiran satu-satu musim tanpa disertakan himpunan celana jean pelbagai rupa yang sesetengahnya menjadi tanda pengenalan bagi beberapa jenama fesyen ternama dunia.

Saban musim, Topshop pasti tampil dengan koleksi seluar jean yang diangkat sebagai antara padanan utama untuk gaya jalanan.

Bagi Topshop, denim itu klasik, tetapi pada masa sama ia kontemporari. Ia ringkas dan ada ketikanya ia menghidupkan gaya yang lebih eksentrik.

Justeru, kempen musim bunga dan panas kali ini membuatkan Topshop kembali dengan koleksi denim yang dikemas kini agar seiring dengan elemen ‘joie de vivre’ (keseronokan kehidupan) yang menjadi tunjangnya.

Kempen ini bukan saja mempersembahkan koleksi yang mencabar daya imaginasi, kreativiti dan keupayaan dalam pemakaian jean rekaannya, tetapi turut meraikan supermodel generasi baru yang menjadi tarikan pada khalayak peminat Topshop.

“Untuk kempen Topshop Denim 2016 ini, kami hasilkan koleksi bukan saja bergaya dalam keadaan santai, malah membantu pengguna dengan menunjukkan cara pemakaian jean yang sesuai dengan personaliti mereka.

“Kempen ini juga menonjolkan aspek versatil dalam rangkaian jean Topshop, sekali gus membuktikan bahawa wujud sepasang jean yang sesuai untuk setiap gadis Topshop,” jelas Pengarah Kreatifnya Kate Phelan.

Untuk koleksi ini, barisan supermodel generasi baru seperti Marga Esquivel, Steffy Argelich, Sophia Ahrens, Bella Hadid, Imaan Hammam dan Ella Richards menggayakan padanan yang bersesuaian dengan personaliti masing-masing.

Antara helaian tumpuan ialah celana jean skinny berpinggang tinggi, skinny berpinggang sederhana, seluar jean berpotongan lurus, celana jean ‘boyfriend’ dan denim longgar.

Sedikit perincian diberikan kepada jean koleksi ini yang membuatkannya lebih selesa lalu memudahkan pergerakan.

Ton dan struktur pada seluruh helaian juga sengaja ditampilkan minimal, sekali gus menjadikan koleksi ini tampak ringkas sambil dititipkan nada sofistikated.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 8:34 AM