KOLABORASI Topshop X Adidas tonjolkan helaian klasik dalam gaya urban eksentrik.
KOLABORASI Topshop X Adidas tonjolkan helaian klasik dalam gaya urban eksentrik.
PADANAN sepatu Adidas Originals melengkapkan lagi koleksi ini.
PADANAN sepatu Adidas Originals melengkapkan lagi koleksi ini.
TOPSHOP dan Adidas hasilkan gabungan stail kontra antara sukan dan gaya jalanan.
TOPSHOP dan Adidas hasilkan gabungan stail kontra antara sukan dan gaya jalanan.
Oleh Nor Faizah Mohamed


Sukan dan fesyen sememangnya saling berkait. Jika dulu, sukar untuk membayangkan kombinasi dua aliran ini di pentas peragaan malah mustahil direalisasikan di atas kertas lakaran.

Malah, tidak pernah terlintas di fikiran fesyenista bahawa pakaian sukan sebenarnya boleh tampak anggun apabila kena pada gayanya.

Namun dengan revolusi terkini dalam koleksi pakaian sukan yang diperkenalkan barisan atlet ternama dunia, nyata dua aliran itu mampu mencipta elemen tersendiri hingga berjaya menarik perhatian penggemar fesyen dan peminat sukan.

Adidas tidak ketinggalan menyertai revolusi itu dengan pelbagai koleksi suai padan yang boleh digayakan untuk bersukan atau ke majlis santai.

Justeru, saat Adidas berkolaborasi buat pertama kalinya dengan Topshop bagi himpunan musim panas tahun lalu, peminat fesyen mengangkatnya sebagai terjemahan sukan serta gaya jalanan dalam kepelbagaian budaya global.

Perbualan santai antara Pengarah Rekaan Adidas Originals Josefine Aberg dengan Pengarah Kreatif Topshop Kate Phelan akhirnya direalisasikan pada koleksi unik yang menghamparkan kombinasi warisan klasik dan stail urban eksentrik.

Nada klasik dihasilkan semula dalam koleksi kapsul lalu yang menyerlahkan cetakan terang menerusi idea baru barisan pereka muda.

Dan bagi edisi kedua Topshop X Adidas tahun ini, tujuh helaian kapsul diketengahkan. Kolaborasi terbabit menyaksikan label gaya high-street itu menghasilkan semula helaian klasik Adidas yang malar segar dengan jaket Superstar serta kasut tiga jalurnya.

“Kapsul kami bersama Topshop adalah usaha sama yang mengagumkan. Ia membolehkan kami meneroka estetik fesyen kontemporari, di samping memberi penghormatan kepada susur galur kami dalam dunia sukan,” ujar Josefine.

Fabrik yang dipilih bersifat ringan serta selesa agar seiring suasana musim yang berangin dan panas. Material kapas halus dan tricot ringan menambah tekstur pada helaian kemeja-T sementara jaket merahnya daripada panel kapas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:02 AM