PRODUK keluaran PKS tempatan dapat sambutan menggalakkan.
PRODUK keluaran PKS tempatan dapat sambutan menggalakkan.
Sofyan Rizal Ishak

Ampang: Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco Malaysia), pengendali rangkaian pasar raya Tesco melantik lima syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera baru sebagai pembekal bagi cawangannya di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Paul Ritchie berkata, pelantikan itu adalah sebahagian usaha syarikat menyokong langkah kerajaan mewujudkan peluang kepada pembekal PKS termasuk PKS Bumiputera di pasar raya berskala besar.

Menurutnya, pihaknya percaya produk dihasillkan pembekal PKS tempatan memiliki potensi dan mampu bersaing dengan jenama terkemuka lain melalui pengawalan kualiti dan penetapan piawaian yang tinggi.

“Oleh itu, kami menggalakkan PKS tempatan supaya terus berinovasi dan memperkenalkan produk baru dan menarik dalam usaha menarik ramai pelanggan,” katanya selepas pelancaran Program Citarasa Malaysia (PCM) di sini, semalam,

Majlis pelancaran itu disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sehingga kini, Tesco menjalinkan kerjasama dengan 3,000 pembekal iaitu 343 pembekal PKS dengan 199 daripadanya Bumiputera.

Sementara itu, Tesco Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menganjurkan PCM bagi memberi peluang kepada PKS tempatan khususnya Bumiputera melaksanakan aktiviti jualan dan mempromosikan produk keluaran masing-masing.

Acara bermula pada 26 April hingga hari ini di Tesco Extra Ampang disertai 24 usahawan PKS tempatan termasuk 13 usahawan adalah pembekal sedia ada Tesco manakala 11 lagi diperkenalkan KPDNKK.

Hamzah berkata, KPDNKK membantu 787 usahawan PKS Bumiputera memasarkan produk dengan 13,014 unit penyimpanan stok (sku) di empat pasar raya besar terkemuka negara tahun lalu.

“Saya menyeru lebih ramai PKS Bumiputera mengikut kriteria ditetapkan empat jenama pasar raya ini iaitu Giant, Tesco, Aeon dan Aeon Big kerana ia dapat menghasilkan produk berdaya saing dan mampu menerokai pasaran luar negara,” katanya.

Pada majlis sama, Tesco mengiktiraf 20 pembekal PKS Bumiputera terbaik berdasarkan prestasi jualan tahun lalu dengan tiga syarikat terbaik adalah Jalen Distributor Sdn Bhd, Al-Meswak Mu’min Sdn Bhd dan Hybrid Allied Dairy Company Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 6:06 AM