ALAS kaki bergambar Kaabah yang dijual di sebuah pasar raya terkenal di Batu Pahat, di sini, sudah dirampas. FOTO Tular
ALAS kaki bergambar Kaabah yang dijual di sebuah pasar raya terkenal di Batu Pahat, di sini, sudah dirampas. FOTO Tular
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Alas kaki bergambar kaabah yang dirampas oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada Selasa lalu adalah sejadah mini.

AEON BiG (M) Sdn Bhd (AEON BiG) dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan pihaknya menyedari hantaran media sosial berhubung salah faham berkaitan sejadah dilabel secara tidak tepat sebagai alas pintu.

"Pembekal yang terbabit, A&R Fashion Collection (A&R) mengesahkan produk itu sememangnya sejadah mini yang mana coraknya adalah dalam format menegak yang juga amalan biasa.

"Bagaimanapun selaras dengan amalan terbaik AEON BiG dan A&R menggunakan kod barangan dalam sistem yang sebelum ini digunakan untuk produk lain syarikat itu.

"Akibatnya, label yang digantung pada produk menunjukkan pelbagai deskripsi dan menyebabkan kekeliruan," katanya.

Menurutnya, perkara itu sudah diperbetulkan serta-merta dalam sistem pengurusan barangan AEON BiG dan deskripsi barangan terbabit sebagai sejadah sudah dinyatakan.

"Kami sudah dimaklumkan mengenai isu ini pada 9 April lalu dan memberikan kerjasama sepenuhnya dan kenyataan kepada JAINJ.

"Pembekal terbabit adalah perusahaan kecil sederhana (PKS) milik 100 peratus Bumiputera atau Islam yang membekalkan pakaian Muslimah patuh syariah.

"Ini termasuk pakaian seperti jubah solat, tudung, kurta, sampin dan songkok selain produk lain seperti sejadah, permaidani seperti tikar," katanya.

Menurutnya, syarikat itu ditubuhkan pada 2007 dan menjadi pembekal kepada AEON BiG sejak 2015 dan pembekal kepada peruncit lain selain mengendalikan kedai sendiri.

"Kedua-dua pihak pengurusan AEON BiG dan A&R berharap kenyataan bersama ini akan menjelaskan sebarang keraguan mengenai isu itu.

"Kami berharap spekulasi ini yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat kita yang berbilang kaum akan dihentikan.

"AEON BiG dan A&R akan terus bekerjasama dengan JAINJ dan mana-mana pihak berkuasa berkaitan sekiranya terdapat sebarang maklumat lanjut diperlukan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan JAINJ merampas 11 alas kaki bergambar Kaabah yang dijual di sebuah pasar raya di Batu Pahat pada Selasa lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid dipetik berkata, tindakan itu diambil susulan aduan awam terhadap tindakan pasar raya itu yang menjual alas kaki berkenaan sempena sambutan Aidilfitri.

Menurutnya, pengurusan pasar raya berkenaan sudah dipanggil bagi memberi keterangan dan diberi amaran supaya lebih berhati-hati terhadap produk jualan agar tidak menyentuh sensitiviti masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 9:07 PM