MUKHRIZ (kanan) diiringi Oyama (dua dari kiri) melawat selepas merasmikan AEON Big, Alor Setar.
MUKHRIZ (kanan) diiringi Oyama (dua dari kiri) melawat selepas merasmikan AEON Big, Alor Setar.

Alor Setar: AEON Big (M) Sdn Bhd (AEON Big) menyasarkan cawangan pasar raya besar terbarunya bertempat di Jalan Gangsa, di sini, mampu mencatatkan jualan berjumlah RM65 juta pada tahun depan.

Pengarahnya A Rashid Adam berkata, selain menawarkan harga rendah, pihaknya turut menawarkan lebih banyak produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera dalam usaha menarik ramai pengunjung ke pasar raya besar berkenaan.

Katanya, usaha itu dilakukan selaras dengan saranan kerajaan supaya memberi lebih banyak peluang kepada usahawan PKS Bumiputera untuk membekalkan dan memasarkan barangan mereka di pasar raya besar cawangan ke-29 terbabit.

“Tahun depan kita menyasarkan hasil jualan sebanyak RM65 juta di pasar raya ini, manakala sasaran keuntungan pula belum diketahui kerana kita masih dalam proses meneliti corak pasaran di sini.

“Sehingga hari ini, sebanyak 536 produk PKS dari seluruh negara dipasarkan di pasar raya ini, dengan 119 daripadanya adalah produk tempatan.

“Langkah ini bertujuan membantu dan memberi peluang kepada pembekal PKS Bumiputera supaya dapat memasarkan barangan mereka di pasar raya besar termasuk di semua cawangan AEON Big,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran rasmi AEON Big Alor Setar, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan disaksikan Pengerusi AEON Big Nagahisa Oyama dan Pengarah Urusannya Mitsuru Nakata.

“Banyak pasar raya besar menawarkan harga rendah untuk menarik pelanggan. Justeru di AEON Big selain menawarkan harga rendah, kita juga memfokuskan kualiti barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Barangan yang dijual juga akan disesuaikan dengan gaya kehidupan masyarakat di sini dan sekitarnya, namun ia bergantung kepada pasaran semasa di negeri ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, A Rashid berkata, pihaknya dalam perancangan membuka cawangan AEON Big di Farlim, Ipoh, Perak menjelang hujung tahun depan bagi merealisasikan permintaan penduduk setempat.

“Saya difahamkan setakat ini AEON Big mempunyai seramai 350 pekerja tempatan dan lebih 80 peratus daripadanya adalah dari Bumiputera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 7:25 AM