KEADAAN Perodua Myvi dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
KEADAAN Perodua Myvi dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan : Penunggang motosikal parah manakala dua selamat dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 7 Jalan Lumut-Ipoh berhampiran Kampung Deralik, 7.20 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa, Derani Ismail, 36, yang menunggang Yamaha 115z cedera di kepala dan patah kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, kemalangan membabitkan Perodua Viva yang dipandu lelaki berusia 36 tahun dan Perodua Myvi dipandu wanita berusia 28 tahun dengan motosikal yang ditunggang mangsa.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Viva datang dari arah Ipoh menghala ke Lumut.

"Apabila sampai di tempat kejadian, Perodua Myvi yang yang berada di belakang Perodua Viva mahu memotong kereta di sebelah kanan jalan.

"Namun cubaannnya gagal lalu melanggar bahagian belakang kanan Perodua Viva dan menyebabkan kereta terbabit terbabas ke kiri jalan manakala kereta wanita itu terbabas ke kanan jalan," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Tengku Mohd Zailan berkata, kemudian motosikal yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan tidak sempat mengelak Perodua Myvi yang masuk ke laluannya.

"Keadaan itu menyebabkan motosikal mangsa terlanggar bahagian hadapan sebelah kanan kereta wanita terbabit dan menyebabkan mangsa parah," katanya.

Katanya, mangsa yang cedera dibawa ke Wad Kecemasan Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut manakala dua pemandu kereta tidak cedera.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Keterangan gambar:

Pix1: Keadaan Perodua Myvi dan motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 7 Jalan Lumut-Ipoh berhampiran Kampung Deralik, Sitiawan pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 3:00 PM