KEADAAN kemalangan yang membabitkan Perodua Viva dan bas. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN kemalangan yang membabitkan Perodua Viva dan bas. FOTO Ihsan Pembaca
Noor Hidayah Tanzizi


WANITA maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Kampung Tersusun Batu 7 Lekir di Sitiawan, hari ini.

Dalam kejadian 6.40 pagi itu, wanita berusia 30-an terbabit meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di beberapa anggota badan.

Bagaimanapun, identiti mangsa yang juga pemandu Perodua Viva masih belum diketahui dan dua wanita lain yang juga penumpang kereta turut cedera.

Difahamkan, kesemua wanita terbabit adalah guru dari Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Lumut dan dalam perjalanan ke Ipoh untuk menghadiri kursus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan Mohd Zaki Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.49 pagi sebelum sepasukan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kemalangan membabitkan sebuah bas yang bergerak dari arah Sitiawan menghala ke Lekir dengan Perodua Viva yang dinaiki tiga wanita terbabit dari Kampung Tersusun dipercayai mahu ke arah Sitiawan.

“Dipercayai bas tanpa penumpang berkenaan terbabas dan kemudian melanggar Perodua Viva yang dinaiki tiga wanita terbabit.

“Pemandu kereta didapati tersepit dan meninggal dunia, manakala penumpang hadapan pula dalam keadaan sedar namun turut tersepit sebelum kedua-duanya dikeluarkan anggota bomba,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, seorang lagi mangsa yang juga penumpang belakang Perodua Viva bagaimanapun sudah keluar dari kenderaan sebelum anggota bomba tiba dan hanya cedera.

“Pemandu bas tidak cedera dan bomba mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 9:51 AM