TEE Ten Hock maut ditempat kejadian. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
TEE Ten Hock maut ditempat kejadian. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori di Kilometer 5 Jalan Ipoh- Lumut berhampiran lampu isyarat Ocean Bowl, di sini, pagi tadi

Dalam kejadian jam 11.40 pagi itu, mangsa Tee Ten Hock, 58, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, mangsa yang beralamat di Ayer Tawar, di sini menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari arah Ipoh menghala ke Lumut dan sebaik tiba di tempat kejadian dipercayai sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 35 tahun yang berada di hadapan mangsa dari sama arah secara tiba-tiba menukar laluan.

"Lori berkenaan menukar laluan dari kanan ke kiri jalan serta memasuki laluan mangsa dan menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian sisi kiri hadapan lori berkenaan.

"Mangsa yang hilang kawalan kemudiannya melanggar tembok simen pembahagi jalan dan papan tanda penunjuk arah di sebelah kiri jalan," katanya.

Menurut Tengku Mohd Zailan, akibat kemalangan itu mangsa yang cedera parah di sahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori yang beralamat di Medan Klebang Prima, Ipoh tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 2:55 PM