Pegawai SPRM mengiringi Jaibim selepas mengaku salah memberi suapan kepada polis pada 3 April lalu. FOTO Amran Hamid
Pegawai SPRM mengiringi Jaibim selepas mengaku salah memberi suapan kepada polis pada 3 April lalu. FOTO Amran Hamid
Aizat Sharif


Alor Setar: Peniaga permaidani mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini, atas tuduhan memberi suapan kepada seorang anggota polis sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadapnya.

Jaibim Daggar, 53, yang juga rakyat tempatan berketurunan Pakistan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memberikan suapan wang tunai sebanyak RM100 kepada Lans Koperal Mohd Wira Ramli yang bertugas di Balai Polis Kulim Hi-Tech, Kulim sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap dirinya.

Dia ditahan kerana memandu Perodua Kancil tanpa lesen serta tidak memakai tali pinggang keledar pada 3 April lalu di tepi Jalan Kulim-Mahang berdekatan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Ladang BMR, Kulim, Kedah.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Tertuduh kelihatan menitiskan air mata selepas membuat pengakuan bersalah itu.

Mahkamah menetapkan 17 April ini sebagai tarikh penetapan hukuman dan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM A Hafiizh Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 11:51 AM