DING Ai Sing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan memberi rasuah kepada pegawai TNB sebanyak RM126,500 pada 28 Februari lalu. FOTO ihsan SPRM
DING Ai Sing mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan memberi rasuah kepada pegawai TNB sebanyak RM126,500 pada 28 Februari lalu. FOTO ihsan SPRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Ipoh: Penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM126,500 pada 28 Februari lalu.

Tertuduh, Ding Ai Sing, 51, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Mengikut pertuduhan, Ai Sing didakwa memberi suapan wang tunai RM126,500 kepada pegawai TNB melalui seorang lelaki sebagai dorongan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pengusaha premis yang disyaki mencuri elektrik di Lembah Klang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dalam bilik 923, M Roof Hotel & Residence beralamat Pusat Perniagaan Taman Ipoh, Jalan Dato' Lau Pak Kuan jam 10.45 pagi, 28 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000 tertakluk mana lebih tinggi.

Tertuduh turut didakwa mengikut pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34 kanun sama.

Susulan pengakuan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM200,000 dan sekiranya dia gagal membayar denda itu boleh dipenjara 12 bulan.

Selain itu, empat telefon bimbit iPhone 12 Pro Max dan wang tunai RM1.49 juta dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.

Sebanyak 514 set mesin melombong bitcoin dilucuthak kepada kerajaan Malaysia untuk pelupusan.

Difahamkan Ai Sing membayar denda RM200,000 berkenaan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh pula diwakili peguam bela, Nur Ashiqeen Mohd Sultan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 10:39 PM