DUA beradik itu mempimpin ibu mereka ketika wanita itu masih hidup.
DUA beradik itu mempimpin ibu mereka ketika wanita itu masih hidup.

Guizhou: Dua beradik tinggal bersama ibu mereka yang sudah mati selama tujuh hari sehingga seorang pelawat mengunjung rumah mereka di sebuah bandar di wilayah ini.

Deng Caiying, 34, mati 27 Disember lalu dan mayatnya ditemui pada 3 Januari apabila seorang sukarelawan datang untuk memeriksa keadaan keluarga itu.

Akhbar Sina News melaporkan, kedua-dua beradik itu yang berusia 12 dan 13 tahun berkata, mereka mengambil keputusan untuk tidak memberitahu sesiapa dan mengunci bilik tidur tempat wanita itu mati kerana takut dimarah.

Menurut saudara mereka, Deng mempunyai masalah mental.

Ketiga-tiga beranak itu tinggal di sebuah rumah buruk dan kecil yang disediakan oleh sanak saudara mereka selepas suaminya mati pada 2011.

Deng pernah memohon bantuan kemasyarakatan pada 2013 dan kesihatannya semakin teruk sehingga dia tidak mampu berjalan sendiri.

Mayatnya ditemui selepas seorang sukarelawan tempatan dibenarkan masuk oleh kedua-dua kanak-kanak itu apabila dia datang untuk memeriksa maklumat untuk mendapatkan bantuan pelajaran mereka.

Sehingga ini, punca kematian wanita itu masih tidak diketahui sementara polis masih menyiasat kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 5:07 AM