ELAKnasihat umpana mencurah air ke daun keladi, tidak membawa kesan.
ELAKnasihat umpana mencurah air ke daun keladi, tidak membawa kesan.
Siti Nadirah Hafidzin


TUGAS menasihati anak-anak kebiasaannya diserahkan kepada si ibu, mungkin disebabkan naluri keibuan yang lebih lembut dan memahami menyebabkan kebanyakan bapa akur dan memberi kepercayaan kepada si isteri untuk menegur.

Hakikatnya ramai anak terutama pada usia remaja beranggapan si ibu terlalu kuat membebel hinggakan ada yang menyatakan ibunya membebel hampir 24 jam sehari walhal si ibu sekadar mahu menasihati serta membetulkan apa yang salah.

Bukan mudah sebenarnya untuk menasihati terutama sekiranya si anak semakin meningkat remaja, mungkin pada si ibu, teguran yang dilakukan itu demi kebaikan anak-anaknya namun ia sering disalah erti.

Usaha menegur ibarat mencurah air di daun keladi sekiranya si anak tidak bersedia menerima teguran itu. Lebih menyedihkan, ia langsung tidak terkesan di hati mereka.

Mengupas mengenai situasi ini, kaunselor bertauliah Zahari Ismail berkata, kebiasaannya si ibu mula menasihati anak-anaknya apabila berlaku sesuatu kesalahan atau kejadian dilakukan si anak.

“Sekiranya si anak dalam lingkungan kanak-kanak, kesalahan yang sering dilakukan adalah terpecah pinggan mangkuk, membuat sepah, bersikap kurang ajar dengan saudara-mara atau kenalan (kerana masih tidak dapat membezakan tingkah laku yang baik dengan buruk), lambat bangun untuk ke sekolah manakala apabila anak sudah semakin remaja, kesalahan yang dilakukan antaranya melawan kata-kata ibu bapa, tidak suka mengemas atau terlalu asyik bermain telefon pintar.

“Mungkin bagi si ibu nasihat yang diberikan adalah untuk kebaikan anak-anaknya namun situasi atau masa untuk memulakan nasihat itu selalunya tidak sesuai dan kebanyakan ibu dalam keadaan marah,” katanya.

Menurutnya, niat asal untuk memberi nasihat itu akhirnya bertukar menjadi satu bebelan dan lebih parah ia menjadi episod jawab-menjawab dengan si anak yang turut menunjukkan rasa tidak puas hati.

“Nasihat akhirnya menjadi ungkapan kosong masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Sebaiknya, nasihat yang ingin disampaikan itu perlulah daripada hati ke hati bagi mendapatkan kesan yang lebih baik.

“Si ibu terlebih dulu perlu bertenang sebelum mula menasihati. Jangan ikutkan rasa marah kerana kesannya lebih buruk terutama menjadikan si anak mudah memberontak kerana berasakan dirinya sering dipersalahkan,” katanya.

Tambahnya, perlu diketahui, untuk memberi nasihat kepada anak sama ada yang masih kecil atau sudah remaja perlu masa yang sesuai. Walaupun anda adalah ibu dan bapa, tidak bermakna anda boleh memberi nasihat pada bila-bila masa untuk mengelakkan kata-kata anda dianggap sebagai bebelan yang masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.

CARI WAKTU SESUAI

Zahari berkata, sebenar­nya tugas menasihati anak itu bukanlah tertumpu kepada ibu semata-mata kerana si ayah juga perlu mengambil peranan dalam hal itu.

“Namun kebanyakan keluarga di negara ini sering kali memperlihatkan tugas menasihati anak itu dilakukan oleh ibu berbanding bapa.

“Mungkin bagi si bapa, isterinya lebih sabar atau dekat dengan anak yang membuatkan proses menasihati itu berjalan dengan lebih lancar namun ketahuilah nasihat daripada seorang ayah sebenarnya lebih mudah diterima terutamanya sekiranya si ayah adalah individu yang jarang bercakap,” katanya.

Menurutnya, tidak kiralah si ibu atau bapa yang menasihati, perkara paling utama yang perlu diberikan perhatian adalah kesesuaian waktu selain cara menasihati.

“Kanak-kanak perlu ditegur dengan cara sesuai, begitu juga dengan anak remaja kerana mereka lebih mudah tersinggung dan memberontak apabila ditegur kerana beranggapan mereka sedang dimarah.

“Jika yang menasihati itu adalah si ibu, carilah masa sesuai juga sebaiknya janganlah menegur kesalahan anak di depan anak lain atau saudara-mara lain kerana kita juga perlu menjaga aib anak-anak,” ujarnya.

Zahari mencadangkan beberapa waktu sesuai untuk menegur atau menasihati anak.

WAKTU MAKAN

Ini adalah masa terbaik untuk ibu bapa mendengar cerita atau keluhan anak-anak tentang hari-hari yang mereka lalui. Kebiasaannya inilah waktunya mereka akan meminta dan memerlukan nasihat secara langsung atau tidak langsung daripada ibu bapa. Ketika kita mendengar dan bercerita, selit nasihat yang ingin disampaikan dalam cara yang tepat.

Inilah juga masanya kita menerapkan adab dalam diri anak. Adab makan, mengambil makanan, menyuap makanan, berdoa, bersyukur dengan rezeki yang berada di depan mata, berbicara dan mendengar. Paling utama jadikanlah waktu makan waktu yang berkualiti untuk keluarga.

WAKTU DALAM PERJALANAN

Kehidupan masa kini memperlihatkan hampir kebanyakan individu hidup dalam suasana terkejar-kejar termasuk anak-anak. Ibu bapa sebenarnya boleh menggunakan tempoh singkat dalam kenderaan sebagai waktu efektif untuk menasihati anak. Nasihat tidak semestinya panjang lebar, cukuplah ia padat dan ringkas namun mempunyai makna yang mendalam bagi memastikan si anak boleh menerima, sekali gus mengubah kesalahan dilakukan.

WAKTU BERMAIN

Tidak kira berapa usia anak anda, tentu saja ibu bapa mempunyai cara tersendiri untuk bermain bersama mereka terutama pada hujung minggu.

Sekiranya anak anda sudah meningkat remaja, pastinya anda membawa mereka bersiar-siar ketika waktu cuti.

Dalam kedua-dua situasi, tentunya emosi anak dalam keadaan gembira dan ia boleh digunakan sebaiknya untuk menasihati anak-anak.

Paling utama jangan sesekali membantutkan kegembiraan yang mereka rasai itu dan cuba menasihati dengan cara yang baik.

KETIKA ANAK DALAM KEADAAN TIDAK SIHAT

Lumrahnya apabila sakit, anak-anak menjadi lebih mengada-ngada dan inginkan belaian dan perhatian daripada ibu bapa. Inilah peluangnya untuk kita berlembut menasihati anak secara ringan tanpa membebankan.

Bagi menggembirakan hati anak, kita boleh merancang untuk melakukan sesuatu aktiviti apabila mereka sihat kelak dan pada masa yang sama boleh diselitkan kata-kata nasihat buat anak. Pilihlah nasihat yang mudah diterima dan sesuai dengan keadaannya ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Ogos 2019 @ 5:00 AM